Serangan mortar: 15 pelajar terbunuh, 20 cedera
Keadaan kawasan kantin fakulti seni bina yang musnah dan dipenuhi darah mangsa.
DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 15 pelajar terbunuh dan 20 yang lain cedera selepas sebutir mortar membedil kantin Fakulti Seni Bina Universiti Damsyik, dalam daerah Baramkeh, Syria, kelmarin.

Stesen televisyen Al-Ikhbariya menyiarkan, kawasan lantai kantin itu dipenuhi darah selain doktor bertungkus-lumus membantu memberi rawatan kecemasan.

"Kumpulan penyerang melepaskan mortar ke arah fakulti seni bina dan penduduk awam juga melihat insiden tragis itu," lapor stesen berkenaan.

Dalam perkembangan lain di wilayah selatan, kumpulan aktivis mendedahkan penyerang mula menyerang pusat kawalan ketenteraan Syria yang menjadi laluan ke Damsyik.

Sementara itu, pemerhati hak asasi kemanusiaan Britain berpangkalan di Syria berkata, kumpulan pemberontak kini sedang menuju ke Dael dan akan menyerang kawasan berdekatan menurut laporan Al-Jazeera.