Saturday 30 March 2013

Penentang kuasai Dael




Pejuang antikerajaan Syria menawah sebuah bandar penting di pinggir lebuh raya utama di antara Damsyik dan wilayah Daraa yang bersempadan dengan Jordan, kata Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia, semalam.

Pegawai pertubuhan berkenaan berkata, Dael dikuasai pejuang antikerajaan selepas mereka memusnahkan tiga pos pemeriksaan tentera di laluan masuk bandar itu.


“Seorang kanak-kanak adalah antara 10 orang yang terbunuh di kalangan orang awam dalam pertempuran itu,” katanya. Turut terbunuh, katanya, sekurang-kurangnya 15 pejuang dan seorang aktivis media yang bekerja dengan pertubuhan berkenaan. Pegawai berkenaan berkata, sebahagian besar wilayah Daraa kini dalam kawasan pejuang antikerajaan dan mereka juga semakin mara dari arah selatan menghampiri Damsyik.


Katanya, beberapa bandar dan perkampungan juga tidak lagi berada dalam kawalan tentera. “Daraa hampir terputus hubungan sepenuhnya dari Damsyik,” katanya. Penguasaan Dael berlaku sehari selepas seorang ahli Parlimen yang setia kepada rejim Presiden Bashar al-Assad memberi amaran kepada kerajaan. Walid al-Zohbi berkata, pejuang antikerajaan semakin mara di Daraa walaupun membuat beberapa pengunduran atas alasan taktikal. “Namun, pengganas Barisan al-Nusra telah mendapat kedudukan di wilayah itu,” katanya.

20 maut dalam bedilan scud tentera Bashardi Aleppo


30/03/2013 3:41am

DAMSYIK - Serangan peluru scud di kawasan kejiranan Harytan di bandar raya Aleppo, utara Syria meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa, kata kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Menurut pertubuhan tersebut, ramai orang masih tertimbus di bawah timbunan runtuhan.
Beberapa aktivis penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad berkata, asap hitam naik ke udara di kejiranan tersebut selepas beberapa letupan kuat kedengaran.
Sebelum ini terdapat laporan bahawa tentera Bashar menggunakan peluru berpandu scud untuk memusnahkan beberapa kubu penentang di utara Syria dengan serangan tersebut dikecam Amerika Syarikat.
“Setakat ini, kami dimaklumkan 26 orang terbunuh di kedua-dua belah pihak (Bashar dan penentang) manakala lebih 100 yang lain cedera termasuk orang awam,” kata ketua kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman
Dalam pada itu, tentera laut Syria membedil sebuah bot nelayan Lebanon dengan menyebabkan seorang cedera dalam insiden itu yang berlaku di perairan Lebanon. - dpa