Masjid Umayyad
Sebahagian bangunan Masjid Umayyad termasuk menaranya musnah terkena bedilan di Aleppo, Syria.
Masjid Umayyad
Sebahagian bangunan Masjid Umayyad termasuk menaranya musnah terkena bedilan di Aleppo, Syria.
ALEPPO - Menara Masjid Umayyad dibina pada kurun ke-8 dan diiktiraf sebagai tapak warisan dunia Unesco di Aleppo musnah teruk selepas terkena bedilan mortar ketika pertempuran Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan tentera kerajaan Syria.

Media tempatan melaporkan, masjid itu adalah sasaran tentera rejim Bashar Al-Assad selepas mendakwa, tentera pembebasan menjadikan kawasan itu sebagai markas dan kubu kuat mereka.

"Bedilan itu dipercayai dilakukan tentera sayap FSA dari puak Jabhat al-Nusra. Namun, kumpulan itu menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa tentera rejim sengaja mahu memusnahkan masjid yang menjadi kawasan tumpuan penduduk Syria," menurut laporan itu.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Mekdad mendakwa, pertempuran sengit turut berlaku di Pangkalan Udara Minnigh berhampiran bandar utara Aleppo.

"Tentera FSA berusaha menawan pangkalan itu bagi menyekat laluan bekalan senjata yang dibekalkan untuk tentera kerajaan," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria Rami Abdel Rahman pula melaporkan, kumpulan FSA telah mengepung lapangan terbang itu dan merampas kereta perisai tentera Syria termasuk pelbagai senjata, laporan dipetik daripada Al Jazeera.