Saturday 12 December 2015

Pembangkang Syria setuju berunding

12 DISEMBER 2015

 DAMSYIK - SYRIA.Kumpulan pembangkang Syria akhirnya bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan di ibu negara pada bulan depan.
Persetujuan itu dicapai oleh lebih 100 anggota pembangkang melalui mesyuarat selama dua hari yang berlangsung di Riyadh pada Rabu lalu.
Pengerusi mesyuarat di Arab Saudi, Abdulaziz al-Sager berkata, rundingan tersebut bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik berlarutan selama lima tahun di Syria.
"Mesyuarat itu akan diputuskan oleh Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura. Ia mungkin akan diadakan pada awal bulan depan," katanya lagi.
Dalam satu kenyataan lain, wakil pembangkang turut menggesa Presiden Bashar al-Assad dan pembantunya supaya meletak jawatan bagi menjayakan proses peralihan politik di negara itu seperti diputuskan dalam rundingan di Vienna, bulan lalu.
Oktober lalu, Gabungan Kebangsaan Syria (SNC), memutuskan untuk memboikot rundingan yang dicadangkan de Mistura selepas Rusia melancarkan campur tangan ketenteraan di negara tersebut. - Press T
V

Tentera Syria musnah 1,375 sasaran militan

12 DISEMBER 2015

 Tentera Syria berjaya menguasai kawasan di Aleppo sejak awal bulan lalu.

 DAMSYIK - SYRIA. Tentera Udara Syria berjaya memusnahkan 1,375 sasaran militan di seluruh negara dalam tempoh dua minggu bermula akhir bulan lalu.
Kelmarin, jurucakap tentera, Ali Mayhoub memaklumkan kejayaan itu dicapai di bawah 360 operasi yang dijalankan antara 27 November dan 10 Disember lalu.
"Sasaran yang dimusnahkan termasuk di luar Damsyik, Homs, Hama, Aleppo, Idlib, Dayr al-Zawr, Daraa dan Latakia," katanya.
Menurutnya lagi, operasi itu turut menyebabkan kumpulan militan termasuk ahli keluarga mereka terpaksa berundur ke kawasan bersempadan dengan Turki .
 Tentera kerajaan kini berjaya menguasai semula kawasan Harasta dan rangkaian terowong termasuk penemuan laluan rahsia sepanjang 350 meter di Joubar di luar  bandar Damsyik.  - Press T
V