Sunday 31 July 2016

Hospital bersalin di Syria kena bom


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 JULAI 2016

Hospital bersalin di Syria kena bom
DAMSYIK - SYRIA. Sebuah hospital bersalin di kawasan Idlib di Syria menjadi mangsa terbaharu serangan udara meragut dua nyawa dan beberapa yang lain cedera, semalam, lapor BBC.

Kejadian di hospital yang ditaja 'Save the Children' di utara barat Syria itu menyebabkan beberapa orang bayi cedera apabila inkubator mereka jatuh ke lantai, wanita mengandung putus kaki dan dua lagi cedera tertusuk objek tajam.

Namun, pihak yang bertanggungjawab atas serangan itu masih belum diketahui.

Syria Relief yang menguruskan hospital itu berkata, mangsa yang terbunuh merupakan keluarga pesakit.

Save the Children berkata, hospital itu merupakan yang terbesar di kawasan tersebut dengan menerima kira-kira 300 kelahiran setiap bulan.

Ketika serangan, dua pembedahan sedang berjalan dan seorang wanita sedang bersalin.

Hospital itu dipercayai telah berhenti beroperasi melainkan bahagian kecemasan memandangkan generator yang membekalkan elektrik kepada bangunan itu telah rosak.

Pengarahnya, Sonia Khush menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan memalukan.

"Tak ada alasan (untuk lakukan serangan ini). Kami kutuk serangan seperti ini di mana ia haram bawah undang-undang antarabangsa.

"Kami perlukan genjatan senjata segera di seluruh Syria dan hentikan serangan kepada fasiliti perubatan," katanya.

Hospital itu beroperasi sejak Jun 2014.