DAMSYIK - SYRIA.Lebih 1,000 tan senjata kimia Syria mungkin dihapuskan di laut jika tiada negara yang menawarkan diri untuk melakukan pemusnahan itu, menurut pemerhati kimia antarabangsa.

Jurucakap pegawai Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) Kristian Chartier berkata, bagaimanapun langkah itu belum diperincikan kerana sehingga kini pihaknya masih belum menemui kaedah pelupusan sisa toksik itu secara teknikal.

“Ada perbincangan mengenai kemungkinan memusnahkan senjata terbabit di atas kapal sama seperti dilakukan Jepun,” katanya kepada Press TV.

Menurutnya, OPCW berhadapan cabaran besar untuk meneutralkan lebih 1,000 tan bahan kimia dan perkara itu dirumitkan selepas keengganan Albania menjadi lokasi untuk pemusnahan senjata kimia Syria.

“Selepas Albania menolak permintaan Amerika Syarikat untuk menjadi hos loji pelupusan senjata, kaedah pemusnahan di laut terus dipertimbangkan sejajar dengan perjanjian pelupusan senjata kimia yang perlu ditamatkan penghujung tahun depan,” katanya.