Friday 24 June 2016

Pemberontak Syria dibayar tentera AS


24 JUN 2015
Pemberontak Syria dibayar tentera AS

Pemberontak Syria dibayar tentera AS Angkatan Tentera Bebas Syria (FSA) menyediakan meriam untuk dilancarkan ke arah pasukan yang setia kepada Presiden Syria Bashar al-Assad di bandar Quneitra.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pemberontak Syria yang menerima latihan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) untuk menentang kumpulan militan IS dibayar AS$250 hingga AS$400 (RM936 hingga RM1,497) sebulan, bergantung kepada kemahiran, prestasi dan kedudukan kepimpinan, menurut Pentagon.

Jurucakap Jabatan Pertahanan, Kolonel Steve Warren berkata, seramai 2,000 pejuang Syria sedang menjalani latihan minggu lalu, manakala 1,500 lagi telah selesai pemeriksaan yang diperlukan.

"Minggu lalu, usaha latihan bergerak lebih perlahan daripada jangkaan kerana mengalami masalah memilih sukarelawan dan membawa mereka keluar dari Syria untuk menjalani latihan," katanya.

Difahamkan, hampir 6,000 penduduk Syria telah menawarkan diri untuk mengambil bahagian dalam usaha AS untuk melatih dan melengkapkan satu kuasa politik sederhana tentera Syria.

Sementara itu, menurut Jurucakap Gabungan Bersama Agensi Pasukan Petugas Syria, Kapten Scott Rye, terdapat juga beberapa kumpulan yang berhenti selepas menjalani latihan selama beberapa minggu.

"Antara sebab mereka keluar adalah kerana tidak memiliki kad pengenalan, di bawah umur atau tidak layak untuk latihan," katanya. - Reuters

Tuesday 21 June 2016

Kosmo! Online - Dunia: "65 juta jadi pelarian seluruh dunia







Kosmo! Online - Dunia: "65 juta jadi pelarian seluruh dunia




AFP - PETUGAS PBB mengagihkan bekalan air bersih kepada pelarian Nigeria di kem Kidjendi, Diffa, Niger kelmarin.

GENEVA – Angka pelarian dan orang yang terpaksa melarikan diri dari rumah di seluruh dunia memecah satu rekod baharu apabila jumlah itu meningkat kepada 65.3 juta pada hujung tahun lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Jumlah yang mengatasi krisis kemanusiaan semasa Perang Dunia Kedua itu didahului oleh rakyat Palestin, Syria dan Afghanistan.

Di peringkat global, sekurang-kurangnya satu peratus daripada manusia terpaksa melarikan diri daripada krisis.

“Ini merupakan kali pertama bahawa jumlah keseluruhan telah melepasi sebanyak 60 juta pelarian,” kata agensi pelarian PBB.

Angka berkenaan dikeluarkan sempena Hari Pelarian Dunia yang dikatakan merupakan satu jumlah krisis pelarian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ketika konflik dan penindasan yang berlaku menyebabkan semakin ramai terpaksa melarikan diri selain sentimen politik antiimigran semakin tegang bagi menempatkan golongan pelarian.

“Keadaan ini bukan sahaja melibatkan kesediaan beberapa negara untuk bekerjasama dalam isu pelarian tetapi kepentingan manusia secara kolektif turut diuji pada hari ini,” kata Ketua Suruhanjaya PBB Bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi.

Angka pelarian telah mening­kat sejak pertengahan tahun 1990, namun kadar itu semakin melonjak sejak tercetusnya perang saudara di Syria pada tahun 2011.

Menurut statistik PBB, daripada 65.3 juta pelarian, kira-kira 40.8 juta masih berada di dalam negara mereka, manakala 21.3 juta pula telah melarikan diri dengan merentasi beberapa sempadan.

Bagaimanapun, penduduk Palestin merupakan kumpulan pelarian terbesar dengan lebih lima juta orang termasuk yang melarikan diri sejak penubuhan Israel pada 14 Mei 1948.

Syria pula mencatatkan sebanyak 4.9 juta pelarian diikuti dengan Afghanistan (2.7 juta pelarian) dan Somalia (1.1 juta).

Sementara itu, UNCHR berkata, terdapat tanda-tanda membimbangkan di Amerika Tengah apabila jumlah peningkatan orang melarikan diri daripada kumpulan-kumpulan yang melakukan keganasan semakin meningkat kepada 17 peratus.

– AFP"



'via Blog this'

Monday 20 June 2016

Gencatan senjata 48 jam di Aleppo



PETUGAS pertahanan awam Syria (kiri) berkumpul di jalan raya di Aleppo yang dibom pesawat tentera kerajaan Syria dan Russia walaupun selepas gencatan senjata diumumkan, semalam.

Beirut: Kementerian Pertahanan Russia berkata, gencatan senjata selama 48 jam diisytiharkan di Aleppo, utara Syria, dengan aktivis turut melaporkan keadaan lebih aman di bandar kedua terbesar negara itu semalam.

Sejak beberapa bulan lalu, Aleppo melihat pertempuran dan pengeboman sengit yang meragut ratusan nyawa tentera kerajaan serta pejuang penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad.

Russia berkata, gencatan senjata berkuat kuasa pada detik tengah malam Rabu. Ini bukan kali pertama gencatan diumumkan di bandar itu sejak beberapa bulan lalu.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berasas di Britain berkata, keadaan di bandar itu aman semalam.

Katanya, keganasan terbaru di bandar itu bermula pada 22 April lalu dengan 627 terbunuh dan 2,900 cedera. Mereka yang mati termasuk 124 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Kumpulan Penentang menawan sebahagian Aleppo daripada tentera rejim pada 2012, manakala kerajaan yang disokong serangan udara Russia mengepung beberapa bahagian bandar itu sejak beberapa bulan lalu.

Aktivis Baraa al-Halaby yang berasal dari Aleppo berkata, pejuang penentang di bandar yang juga pernah menjadi pusat perdagangan Syria itu tidak dimaklumkan mengenai gencatan itu.

Katanya, tentera kerajaan serta pesawat pejuang Russia dan Syria masih menyasarkan jalan Castello yang menghubungkan kawasan dikuasai penentang dengan kawasan lain negara itu seterusnya menyekat orang ramai meninggalkan kawasan itu.

“Ini seperti satu gurauan. Jalan Castello dibedil bom tong sejak 12 jam lalu,” katanya merujuk pada tempoh selepas gencatan berkuat kuasa. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 10:12 AM

Sunday 19 June 2016

Aleppo terus dibedil


34 lagi penduduk awam jadi korban serangan udara

17 Jun 2016 12:54 AM
SEORANG lelaki Syria tidak dapat menahan kesedihan apabila kediamannya


SEORANG lelaki Syria tidak dapat menahan kesedihan apabila kediamannya ranap akibat dibedil jet tentera Syria di bandar Aleppo pada 8 Jun lalu. AFP
DAMSYIK 16 Jun - Penderitaan penduduk Ale­ppo bagai tiada kesudahan, apabila bandar itu terus dibedil tanpa henti oleh jet dan helikopter tentera kerajaan Syria, kali ini menyaksikan sekurang-kurangnya 34 orang lagi terbunuh dalam serangan udara, kelmarin.

Bagaimanapun, pengumuman gencatan senjata oleh Rusia yang merupakan sekutu Presiden Bashar Al-Assad selama 48 jam di wilayah itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk di bandar itu.

“Bagi insiatif Rusia, satu ‘perintah senyap’ (gencatan senjata) dikuatkuasakan di Aleppo selama 48 jam bermula pukul 12.01 pagi pada 16 Jun bertujuan mengurangkan tahap keganasan bersenjata dan menstabilkan situasi di bandar itu (Aleppo),” kata Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan.

Portal Al Jazeera melaporkan, serangan udara kelmarin mensasarkan kawasan yang dikuasai kumpulan penentang.

Bom tong digugurkan di kawasan Salhen, Ferdos dan Jisr al-Haj di wilayah Aleppo mengorbankan sebanyak sembilan orang termasuk dua kanak-kanak.

Pengeboman dan serangan udara berikutnya disasarkan di kawasan Salahadeen, Sukary, Malaah dan Castello mengakibatkan 25 orang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.

Serangan udara itu kemudiannya berlanjutan sehingga tengah malam sampai pagi semalam.

Seorang wartawan yang juga aktivis kemanusiaan Hadi al-Abdullah yang membuat liputan di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang turut cedera dalam serangan itu.

Washington sebelum itu memberi amaran kepada Assad dan Moscow supaya Damsyik menghormati gencatan senjata yang dicapai pada Februari lalu.

Pertempuran terbaharu tentera kerajaan dan sekutunya dengan kumpulan penentang di Aleppo seperti dilaporkan Badan Pemantau Hak Asasi Syria menyaksikan berpuluh-puluh anggota pemberontak terbunuh, semalam. – AGENSI/AFP

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-terus-dibedil-1.343347#sthash.EyPe1yjT.dpuf

Tujuh terbunuh serangan awal pagi di Aleppo


19 Jun 2016 1:15 AM

BEIRUT 18 Jun - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam satu serangan yang dilancarkan pada awal pagi di wilayah bergolak, Aleppo di Syria.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) berkata, serangan tersebut dipercayai didalangi oleh Unit Perlindungan Penduduk Kurdis (YPG).
Menurut SOHR, lebih 40 orang turut cedera dalam serangan yang menyasarkan kawasan Sheikh Maqsoud, sebuah daerah yang terletak berhampiran satu-satunya laluan keluar masuk menuju ke kawasan yang dikuasai puak pemberontak iaitu Castello.-REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tujuh-terbunuh-serangan-awal-pagi-di-aleppo-1.344334#sthash.Fftke0N0.dpuf

Thursday 16 June 2016

34 maut serangan udara di Aleppo


16 Jun 2016 11:18 AM

Serangan udara

Serangan udara
SUASANA bandar Aleppo diselebungi asap tebal selepas serangan udara yang dilancarkan tentera Syria. - REUTERS
DAMSYIK 16 Jun - Sekurang-kurangnya 34 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara tentera Syria di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan di Aleppo, kelmarin.
Portal Al Jazeera melaporkan, bom tong yang digugurkan oleh helikopter tentera jatuh di kawasan Salhen, Ferdos, dan Jisr al-Haj membunuh sembilan orang termasuk dua kanak-kanak.
Serangan udara dan pengeboman di Salahadeen, Sukary, Malaah dan Castello mengakibatkan 25 kematian antaranya wanita dan kanak-kanak. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/34-maut-serangan-udara-di-aleppo-1.343115#sthash.rt4Yf9p4.dpuf

Budak pelarian dieksploitasi


15 JUN 2016
Budak pelarian dieksploitasi

 
Budak pelarian dieksploitasi Pihak tidak bertanggungjawab didakwa mengambil kesempatan mengeksploitasi kanak-kanak pelarian di Perancis.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Kanak-kanak di dua kem pelarian di Perancis didakwa hidup menderita kerana mereka dieksploitasi secara seksual oleh sindiket pemerdagangan manusia yang menjanjikan laluan perjalanan ke Britain.

Laporan bersama Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) yang akan diterbitkan esok bakal mendedahkan situasi menyedihkan terpaksa dihadapi golongan itu yang mendapatkan perlindungan di kem pelarian di Calais dan Dunkirk.

"Ratusan budak tanpa pengawasan orang dewasa kini tinggal di kem di utara Perancis itu. Terdapat imej yang memaparkan bagaimana kanak-kanak pelarian menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab," jelas agensi antarabangsa itu dalam satu kenyataan.

Kebanyakan budak terutamanya dari Syria dan Libya mendakwa mereka dipaksa oleh ahli sindiket terbabit untuk melakukan pelbagai perbuatan jenayah termasuk membuka pintu lori untuk pelarian dewasa yang akan diseludup masuk ke Britain.

Sementara itu, badan amal, Citizens UK memaklumkan hanya 150 kanak-kanak di Calais mempunyai kebenaran sah untuk memasuki Britain kerana mereka mempunyai keluarga di negara tersebut.

Dalam satu kenyataan lain, sebuah lagi badan amal untuk pelarian, Help Refugees mendedahkan kira-kira 120 budak tanpa pengawasan orang dewasa dilaporkan hilang dari kem Jungle tidak lama selepas pihak berkuasa di Paris membersihkan bahagian selatan kem migran itu pada Mac lalu. - Press TV

244 maut minggu pertama Ramadan


Seorang lelaki mengangkat mayat seorang kanak-kanak perempuan

SEORANG lelaki mengangkat mayat seorang kanak-kanak perempuan yang terbunuh dalam serangan udara di bandar Maaret al-Numan, yang dikuasai pembrontak di wilayah Idlib pada12 Jun lalu. REUTERS
DAMSYIK 14 Jun - Sekurang-kurangnya 244 orang terbunuh pada minggu pertama Ramadan di Syria, kebanyakannya akibat serangan bom oleh tentera Syria dan serangan udara oleh Rusia.
Menurut laporan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, antara 6 Jun hingga 12 Jun lalu, sekurang-kurangnya 148 awam terbunuh termasuk 50 kanak-kanak dan 15 wanita selepas helikopter menggugurkan bom di kawasan kediaman mereka.
Sementara itu, 12 orang awam pula terbunuh dalam sera­ngan kumpulan militan IS, manakala seorang lelaki dipenggal kepalanya oleh kumpulan militan ber­kenaan dalam tempoh yang sama.
Jumlah berkenaan terma­suk kematian akibat serangan udara di sebuah pasar di bandar Idlib pada Ahad lalu yang menyaksikan sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh, dan menurut aktivis kebanyakan mangsa adalah wanita serta ka­nak-kanak.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya sikap masyarakat antarabangsa kerana berterusan mendiamkan diri terhadap jenayah yang dilakukan ke atas penduduk Syria,” tegas mereka.
Laman web aljazeera.com memetik beberapa kumpulan pemantau termasuk pihak berkuasa Turki menuduh Rusia melancarkan serangan udara di Idlib, namun pihak berkuasa Rusia menafikan sebarang penglibatan.
Kawasan berkenaan dikuasai bersama kumpulan pemberontak Tentera Penakluk termasuk Barisan al-Nusra, namun mereka tidak terlibat dalam perjanjian gencatan senjata pada Februari lalu.
Laporan pemantau itu dikeluarkan ketika beratus-ratus penduduk awam melarikan diri dari kubu kuat kumpulan militan IS, Manbij di utara Syria, manakala beribu-ribu lagi masih terperangkap di bandar itu yang dikepung oleh tentera Arab Saudi dan Kurdis yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Konflik Syria yang bermula dengan tunjuk perasaan aman pada Mac 2011 bertukar menjadi perang saudara membabitkan banyak pihak.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah korban meningkat kepada 280,000 orang, manakala separuh daripada penduduk negara ini dipaksa meninggalkan kediaman mereka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/244-maut-minggu-pertama-ramadan-1.342623#sthash.MwfKbGTB.dpuf

70 terbunuh pertempuran di Aleppo


ANTARA kemusnahan di bandar Aleppo. - AFP

ANTARA kemusnahan di bandar Aleppo. - AFP
BEIRUT 15 Jun - Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam tempoh kurang daripada 24 jam di wilayah bergolak Aleppo yang menyaksikan pertempuran tiga penjuru antara tentera Syria, anggota kumpulan militan dan puak pemberontak.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) berkata, pasukan tentera yang dibantu Rusia menerusi serangan udara berjaya menawan semula perkampungan Zaytan dan Khalasa di barat daya Aleppo selepas kehilangan kedua-dua perkampungan itu beberapa jam sebelumnya. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/70-terbunuh-pertempuran-di-aleppo-1.342858#sthash.jBUpbC0T.dpuf

Sunday 12 June 2016

Barat kutuk Syria gugur bom di Daraya


PENDUDUK Syria memunggah bantuan makanan dari sebuah trak di Daraya,

PENDUDUK Syria memunggah bantuan makanan dari sebuah trak di Daraya, barat daya Syria, kelmarin. AP
BEIRUT 11 Jun – Negara-negara barat mengecam tindakan kerajaan Syria yang menggugurkan bom di bandar Daraya selepas beberapa jam penduduknya menerima bantuan makanan buat pertama kali dalam tempoh empat tahun.
Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault menuduh Damsyik ‘penipu besar’ berikutan sera­ngan itu yang berlaku semasa pekerja-pekerja bantuan mula mengagih-agihkan bekalan makanan kepada beribu-ribu penduduk Daraya yang kelaparan.
Ayrault berkata, pihaknya ‘terlalu marah yang tidak boleh digambarkan’ lantas mengisytiharkan penamatan gencatan senjata yang telah goyah dan menggesa negara-negara kuasa besar dunia untuk bermesyuarat.
Konvoi yang membawa beras, kekacang, gula, minyak dan tepung gandum untuk orang awam tiba di Daraya Khamis lalu, buat pertama kali sejak regim Syria mengepung bandar itu pada hujung 2012.
Menurut saksi, pasukan tentera Syria menggugurkan bom ber­kenaan secara rambang menggunakan helikopter semasa penduduk sedang berkongsi makanan.
Serangan tersebut juga dikatakan berlaku selepas kumpulan Arab Kurdis mengumumkan berjaya mengepung kubu kuat kumpulan IS di utara Syria.
Anggota majlis bandaran, Shadi Matar berkata, bantuan tersebut masih belum diagih-agihkan berikutan serangan bertalu-talu tersebut.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Mark Toner berkata, serangan itu tidak boleh di­terima dalam apa jua keadaan malah telah menjejaskan pe­nyaluran dan pengagihan bantuan yang diperlukan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 60,000 penduduk Syria mendiami kawasan-kawasan yang dikepung oleh kerajaan Syria manakala empat juta lagi penduduk berada di kawasan yang sukar dimasuki.
Dalam pada itu, agensi bantuan memberitahu, pihaknya tiba di Douma semalam iaitu bantuan pertama PBB sejak 2013 dengan membawa 39 buah trak berisi makanan dan barangan lain termasuk ubat.
Pihak bantuan kemanusiaan PBB masih menunggu persetujuan Damsyik untuk me­nyalurkan bantuan ke dua lagi kawasan yang dikepung Syria iaitu Al-Waer di wilayah Homs dan Zabadani di kawasan luar bandar Damsyik. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/barat-kutuk-syria-gugur-bom-di-daraya-1.341308#sthash.ATDySq2O.dpuf

20 terbunuh serangan bom berhampiran Damsyik


BEBERAPA orang penduduk Syria memeriksa sebuah kereta yang hangus
BEBERAPA orang penduduk Syria memeriksa sebuah kereta yang hangus terbakar dalam dua serangan bom di pinggir kota Damsyik, Syria semalam.-AFP
12 Jun 2016 1:00 AM



BEIRUT 12 Jun - Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam dua serangan bom berhampiran makam suci milik puak Syiah di pinggir kota Damsyik yang didakwa didalangi oleh kumpulan militan IS semalam.
Agensi berita Syria, SANA melaporkan, dua orang pengebom berani mati termasuk seorang yang meletupkan diri dalam sebuah kereta telah menyerang pintu masuk ke kawasan kejiranan Sayyida Zeinab ketika kejadian.
Menurut Kumpulan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR), selain 20 kematian termasuk 13 orang awam, lebih 30 orang turut cedera dalam letupan itu setakat ini.-AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/20-terbunuh-serangan-bom-berhampiran-damsyik-1.341374#sthash.waxFb1VH.dpuf

Saturday 11 June 2016

Iran, Rusia, Syria sepakat



TEHERAN - IRAN . Iran, Rusia dan Syria sebulat suara meningkatkan kerjasama dalam usaha untuk memerangi kumpulan militan IS di rantau Timur Tengah dalam mesyuarat tiga hala, kelmarin.
"Kami mencapai persetujuan berhubung perkara perlu dilakukan di peringkat serantau," kata Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehqan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat bersama rakan sejawatannya dari Moscow, Sergei Shoigu dan Fahd Jassem al-Freij dari Syria di ibu negara.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan Teheran melihat usaha untuk memerangi keganasan sebagai tanggungjawab negara antarabangsa  selain menuduh Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya, Israel sebagai pencetus keganasan di rantau Arab.
Dalam satu kenyataan lain, Kementerian Pertahanan Rusia memberitahu fokus perbincangan mereka adalah mengenai langkah utama untuk mengukuhkan kerjasama antara ketiga-tiga negara dalam usaha untuk memerangi IS dan Barisan al-Nusra.
Difahamkan, Moscow telah menghantar pasukan khas dan pesawat pejuang untuk menyokong tentera Syria manakala Teheran menempatkan penasihat tentera bagi melatih kumpulan militia prokerajaan. - Press TV

Kem pelarian dibakar gara-gara tidak sahur


11 Jun 2016 1:11 AM





BERLIN 10 Jun – Gara-gara marah kerana tidak dikejutkan untuk bangun bersahur, sekumpulan pendatang Islam bertindak membakar sebuah kem pelarian di Dusseldorf, Jerman yang menempatkan 280 orang pendatang.
Menurut laporan Mailonline, seramai 25 pendatang diberi ra­watan akibat terhidu asap beracun ekoran kejadian itu.
Berdasarkan siasatan awal, polis menemukan sebuah tilam yang terbakar dan mempunyai kesan semburan cecair pemetik api.
Akhbar Jerman, Express me­laporkan, dua lelaki Maghribi yang tinggal di kem itu berkata, kakitangan keselamatan warga Iran sengaja tidak mengejutkan mereka untuk bangun bersahur.
Pihak berkuasa Jerman berkata, polis menahan dua lelaki Afrika Utara yang disyaki memulakan kebakaran yang mengakibatkan kerosakan teruk berikutan ‘pergaduhan tentang makanan’.
Menurut polis, salah seorang lelaki berkenaan berusia 26 tahun dilihat mencurah cecair ke atas tilam dan membakarnya, manakala seorang lagi lelaki memberitahu penghuni kem itu bahawa mereka perlu berbuat demikian supaya perubahan berlaku.
Pihak penyiasat memaklumkan bahawa pergaduhan tentang makanan dipercayai menjadi punca kebakaran tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kem-pelarian-dibakar-gara-gara-tidak-sahur-1.341003#sthash.HRjjRdcI.dpuf

Friday 10 June 2016

Russia, Syria sasar hospital

Ankara: Turki semalam mengecam serangan udara Russia yang menyasarkan masjid, hospital, sekolah dan bangunan awam lain.
Dalam satu kenyataannya, Kementerian Luar Turki berkata, serangan udara Russia sejak beberapa lalu menyasarkan hospital di Aleppo dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperi kemanusiaan.
Sementara itu, di Aleppo, seorang pakar perubatan kanak-kanak berkata, jururawat di sebuah hospital di bandar berkenaan bergegas menyelamatkan sembilan bayi baru lahir selepas hospital itu menjadi sasaran pengeboman besar-besaran Russia, kelmarin.
Ketua Hospital Kanak-Kanak Al-Hakim, Dr Hatem berkata: “Ia saat paling teruk. Jururawat kami bertungkus lumus membawa bayi itu ke besmen.”
Sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh apabila pesawat Russia dan kerajaan Syria mengebom kawasan yang menempatkan tiga hospital di bahagian Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang.
Hatem yang enggan mendedahkan nama penuhnya berkata, pihaknya bimbang bayi itu mati akibat tersedut habuk.
“Kami memang menjangka hospital ini akan menjadi sasaran pengeboman. Dan ia berlaku hari ini (kelmarin).
“Kini hanya tinggal 18 inkubator di timur Aleppo,” katanya.
Pemilik hospital, Persatuan Doktor Bebas berkata, semua bayi di hospital itu selamat tetapi hospital itu tidak boleh digunakan lagi.
“Saya mahu setiap pemimpin bayangkan kanak-kanak di hospital ini anak mereka. Apa sahaja yang akan mereka lakukan untuk menyelamat anak mereka daripada dibom, mereka perlu lakukan untuk kanak-kanak ini,” kata Hatem.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 7:23 AM


GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan bayi Syria yang baru lahir dipindahkan kakitangan hospital kanak-kanak di Aleppo selepas ia menjadi sasaran pengeboman tentera Syria dan Russia.

Thursday 9 June 2016

Ramadan berdarah

Beirut: Seramai 17 orang awam termasuk lapan kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara di sebuah pasar di timur Syria semalam, hari pertama Ramadan.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, serangan di Al-Shaara - bandar dikuasai Daish di wilayah Deir Ezzor disyaki dilancarkan pesawat pejuang tentera kerajaan atau Russia.
Jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan sebahagian mangsa cedera parah, kata pengarah SOHR Rami Abdel Rahman.
Katanya, penduduk kampung berhampiran lazimnya datang ke pasar Al-Shaara untuk membeli barangan keperluan.
Serangan udara turut membedil kawasan ditawan IS dan di luar bandar Deir Ezzor sejak awal pagi semalam, katanya.
Daish menguasai lebih 60 peratus bandar Deir Ezzor, ibu negeri wilayah berkenaan yang dikuasainya sejak 2013.
SOHR bergantung kepada rangkaian sumber di dalam Syria untuk mengumpulkan maklumat berhubung konflik sejak lima tahun lalu itu yang dipercayai sudah menyebabkan lebih 280,000 orang terbunuh dan jutaan lagi penduduk hilang tempat tinggal.
Badan pemerhati itu mengenal pasti sama ada serangan dilancarkan pesawat pejuang Syria, Russia atau pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat berdasarkan tempat ia dilakukan, corak penerbangan serta jenis kapal terbang dan peluru digunakan.
SOHR turut melaporkan serangan udara kerajaan membunuh sekurang-kurangnya 15 orang awam di Boleel di pinggir bandar Deir Ezzor, Jumaat lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 9:31 AM


SEKUMPULAN penduduk membantu seorang lelaki yang cedera dalam serangan udara di Idlib, bandar di barat laut Syria yang dikuasai kumpulan penentang.

Syria: 15 terbunuh dalam serangan udara tentera kerajaan


Mangsa serangan udara

Para penyelamat sedang mengangkat jenazah mangsa serangan udara yang didakwa dilakukan oleh tentera kerajaan di daerah Shaar, utara Aleppo - AFP
ALEPPO 8 Jun - Sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh termasuk dua kanak-kanak dalam serangan udara tentera kerajaan Syria di bandar Aleppo hari ini.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, daripada jumlah tersebut sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh ketika berada di luar hospital Al-Bayan dekat Shaar.
Dua kanak-kanak berkenaan dan empat lagi terbunuh di wilayah Al-Marja dalam serangan bom yang dipercayai digugurkan dari helikopter.
Pihak hospital Al-Bayan memberitahu, seorang kakitangannya cedera dalam serangan tersebut manakala bangunan hospital itu telah dikosongkan. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syria-15-terbunuh-dalam-serangan-udara-tentera-kerajaan-1.340098#sthash.Uam987HL.dpuf

Tuesday 7 June 2016

Mohon cerai sebab isteri didakwa bukan lagi dara

Arjun berjanji akan hidup bersama dengan Yogita buat selama-lamanya. -Foto Mumbai Mirror
INDIA - Seorang pengantin lelaki memohon cerai dengan isterinya kerana isterinya disahkan tidak mengalami pendarahan ketika melakukan hubungan kelamin pada malam pertama.
Pengantin wanita itu, Yogita Abhiyekar-Karale, berusia 20 tahun, yang bertugas sebagai anggota polis di bandar Ahmednagar, bagaimanapun menafikan dia berlaku curang terhadap suaminya, Arjun, 25.
Kata Yogita, dia tidak pernah melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki.
"Saya mengakui saya masih anak dara lagi. Selaput dara saya mungkin telah pecah ketika jalani latihan lasak dalam pasukan polis. Itulah sebab tiada pendarahan berlaku ketika mengadakan hubungan kelamin dengan suami saya," jelas Yogita.
Yogita adalah isteri kedua kepada Arjun. Mereka berkahwin pada 22 Mei lalu.
Mengikut adat resam di Ahmednagar, pengantin lelaki berhak 'mengadakan ujian status dara' ke atas pengantin wanita iaitu dengan meletakkan sehelai kain putih ketika mengadakan hubungan kelamin di malam pertama.
Walaupun Yogita cuba meyakinkan suaminya, namun tetap ditolak. Akhirnya Arjun membawa kes mereka ini ke mahkamah untuk memohon penceraian.
Kes ini kemudian mendapat perhatian dalam masyarakat setempat dan selepas mendapat bantuan daripada beberapa persatuan, pihak polis akhirnya melakukan siasatan serta berjanji akan memberikan perlindungan kepada Yogita di bawah undang-undang yang sedia ada.
Selepas menyedari kes berkenaan mendapat liputan meluas, Arjun kini dikatakan mengubah fikirannya dan berjanji akan menarik balik permohonan perceraiannya itu.

Henti serangan

Falluja: Iraq semalam menangguhkan serangannya ke atas bandar ini kerana bimbang terhadap keselamatan orang awam yang terperangkap di situ.
Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Haider al-Abadi, dua hari selepas serangan besar-besaran dilancarkan untuk menawan semula bandar berkenaan daripada kumpulan pengganas Daish yang memberi tentangan sengit.
Iraq yang disokong oleh kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat dan Iran, berikrar menawan Falluja, bandar besar pertama yang jatuh ke tangan kumpulan itu pada 2014.
“Kami mungkin boleh menamatkan peperangan itu jika tidak mengambil kira keselamatan orang awam,” kata Abadi kepada panglima tentera di bilik gerakan di pinggir Falluja.
Falluja ialah kubu kuat kumpulan Sunni yang menentang pendudukan Amerika Syarikat di Iraq dan kerajaan Baghdad yang diketuai Syiah.
Haider mula mengumumkan rancangan menyerang Falluja 10 hari lalu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, Daish menahan ratusan keluarga di pusat bandar itu untuk dijadikan perisai manusia.
Menurut badan dunia itu, 50,000 orang dipercayai terperangkap di bandar berkenaan.
Selepas mendapat tentangan sengit daripada Daish, tentera Iraq dilapor masih tidak dapat bergerak lebih jauh sejak 48 jam lalu dan mengekalkan kedudukan mereka di pinggir selatan Falluja.
Falluja ialah bandar kedua terbesar Iraq yang masih dikuasai Daish, selepas Mosul.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 9:49 AM


TENTERA Iraq di dalam kenderaan masing-masing di Nuaimiya, kawasan pinggir bandar Falluja, semalam.

Puluhan terbunuh di Aleppo

Aleppo: Tentera Syria membunuh puluhan orang awam dengan serangan udara di sekitar bandar Aleppo kelmarin, walaupun selepas bersetuju membenarkan konvoi membawa bantuan makanan ke 12 kawasan yang dikepungnya di bandar itu.
Serangan terhadap bandar Aleppo itu adalah yang paling sengit dalam masa sebulan.
Koresponden AFP berkata, lebih 12 bom tong digugurkan di daerah yang dikuasai kumpulan penentang di timur bandar itu.
Empat belas orang mati apabila bas yang mereka naiki turut menjadi sasaran pengeboman.
Kumpulan pertahananan awam yang digelar Helmet Putih berkata, sekurang-kurangnya 43 orang awam terbunuh dalam keganasan terbaru tentera Syria itu.
“Sebahagian mangsa ditimpa runtuhan bangunan,” kata seorang sukarela yang hanya mahu dikenali sebagai Khaled.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, semua yang bergerak menjadi sasaran, dalam serangan itu tidak kira orang atau kenderaan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:05 AM


SUKARELAWAN pertahanan awam Syria yang dikenali sebagai Helmet Putih mengusung seorang lelaki yang cedera akibat serangan udara tentera Syria di Aleppo, kelmarin.

17 terbunuh dalam serangan udara di timur Syria


syria
Gambar bertarikh 28 April ini menunjukkan pasukan sukarelawan pertahanan awam Syria membantu salah seorang mangsa yang cedera dalam serangan udara yang dilancarkan ke atas kejiranan Bab al-Nayrab di Aleppo - AFP
BEIRUT 7 Jun - Sekurang-kurangnya 17 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh selepas satu serangan udara dilancarkan ke atas sebuah pasar awam di wilayah Deir al-Zour, timur Syria.
Menurut Kumpulan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR), serangan tersebut berkemungkinan didalangi oleh Rusia atau tentera Syria. - Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/17-terbunuh-dalam-serangan-udara-di-timur-syria-1.339405#sthash.8fHx0rEd.dpuf

Aleppo terus dibedil


Berpuluh-puluh penduduk terkorban, persiapan Ramadan bertukar tragedi

PENDUDUK Syria melihat kesan kemusnahan akibat serangan mortar
PENDUDUK Syria melihat kesan kemusnahan akibat serangan mortar oleh kumpulan penentang kerajaan di kawasan perumahan al-Midan yang dikuasai tentera kerajaan di Aleppo, baru-baru ini. AFP
AMMAN 6 Jun - Persiapan menyambut Ramadan bagi penduduk di Aleppo, Syria bagaikan tiada erti apabila kawasan kediaman mereka berterusan menjadi ‘medan pertempuran’ antara tentera Syria dan kumpulan penentang kerajaan yang saling bertelagah, sama ada menerusi serangan udara mahupun bedilan mortar, semalam.
Menurut portal Al Jazeera, sekurang-kurangnya 53 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam pertempuran tersebut, ketika tentera kerajaan buat pertama kali berjaya memasuki wilayah Raqqa sejak Ogos 2014.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria melaporkan, berpuluh-puluh bom tong digugurkan melalui helikopter tentera di kawasan perumahan al-Qatriji manakala sebuah pesawat pejuang tidak dikenali terhem­pas di selatan Aleppo.
Badan itu menyatakan 32 orang terkorban dalam serang­an udara berkenaan manakala 20 orang lagi maut diserang kumpulan penentang kerajaan di kawasan dikuasai tentera kerajaan di bandar Aleppo.
Kumpulan sukarelawan White Helmets pula menyatakan, sekurang-kurangnya 50 serangan udara dilancarkan ke kawasan dikuasai kumpulan penentang di Aleppo semalam.
Jelas sukarelawan tersebut, kumpulan penentang turut membedil kawasan perumahan dikuasai tentera kerajaan di bahagian barat bandar berkenaan di kawasan Hamadaniyah dan Midan.
Dalam perkembangan ber­asingan, tentera Syria dilaporkan mula memasuki wilayah Raqqa kelmarin, kali pertama selepas mereka diusir kum­pulan mi­litan IS pada Ogos 2014.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria memberitahu, serangan udara tentera Rusia di timur wilayah Homs berhampiran Raqqa pada Jumaat lalu memudahkan kemaraan tentera Syria ke wilayah berkenaan.
Jelas badan berkenaan, sebanyak 26 anggota militan IS dan sembilan anggota tentera kerajaan dan sekutunya terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Tambahnya, tentera Syria membuat kemaraan dari kawasan Athriya, timur wilayah Hama berhampiran sempadan wilayah Raqqa.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-terus-dibedil-1.339484#sthash.t3YvTzA2.dpuf

17 terbunuh dalam serangan udara di timur Syria


syria
Gambar bertarikh 28 April ini menunjukkan pasukan sukarelawan pertahanan awam Syria membantu salah seorang mangsa yang cedera dalam serangan udara yang dilancarkan ke atas kejiranan Bab al-Nayrab di Aleppo - AFP
BEIRUT 7 Jun - Sekurang-kurangnya 17 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh selepas satu serangan udara dilancarkan ke atas sebuah pasar awam di wilayah Deir al-Zour, timur Syria.
Menurut Kumpulan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR), serangan tersebut berkemungkinan didalangi oleh Rusia atau tentera Syria. - Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/17-terbunuh-dalam-serangan-udara-di-timur-syria-1.339405#sthash.atJWmQL2.dpuf