Angka kematian itu terma­suk 165 orang awam dengan 49 daripadanya kanak-kanak yang menjadi mangsa pertempuran antara tentera kerajaan dengan kumpulan penentang di bahagian barat Aleppo.
Menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia ke Syria, serangan udara tentera Rusia dan Syria di timur Aleppo pula mengorbankan 168 orang awam.
Aleppo yang pernah menjadi hab ekonomi Syria, musnah akibat perang saudara apabila se­ring dihujani serangan roket dan jet pejuang.
Sebelum ini, gambar seorang kanak-kanak lelaki Syria yang duduk di dalam sebuah ambulans dalam keadaan tubuhnya diselaputi debu dan mukanya berdarah dalam serangan udara, menggambarkan penderitaan sebenar yang dialami penduduk Aleppo ketika ini akibat perang saudara.
Gambar itu menjadi viral selepas sekutu Presiden Syria, Bashar al-Assad iaitu Rusia bersetuju menghentikan serangan selama 48 jam, sekali gus membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
Imej Omran Daqneesh, 5, yang diselamatkan daripada runtuhan bangunan dalam serangan udara di Qaterji, tenggara Aleppo menjadi perhatian dunia.
Lebih 290,000 dilaporkan terbunuh sejak perang Syria tercetus pada Mac 2011 dan pelbagai usaha antarabangsa telah dilaksanakan bagi menamatkan konflik tersebut. – AFP