Slovenia menjadi pintu masuk utama kumpulan pelarian di zon Schengen selepas Hungary menutup laluan penting sempadan antara negara itu dan Croatia.
Susulan kesukaran Slovenia menangani kebanjiran pelarian, Pesuruhjaya Hal Ehwal Pelarian EU, Dimitris Avramopoulus melawat kawasan itu bagi membincangkan permintaan Ljubljana berhubung sokongan pasukan polis dari negara anggota yang lain dan bantuan kewangan.
Menurut polis, dalam tempoh 24 jam sahaja, lebih 12,600 pela­rian memasuki Slovenia yang hanya mempunyai kira-kira dua juta penduduk, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelarian di negara ini berjumlah 34,130 orang, sejak Sabtu lalu apabila Budapest menutup sempadannya dengan Croatia.
Selain itu, lebih 10,000 pela­rian berada di pusat pendaftaran di Slovenia dengan harapan dapat meneruskan perjalanan mereka ke Austria yang mempunyai kem pelarian di kawasan sempadan.
Jauh di kawasan selatan, antara 2,000 dan 3,000 pelarian masih terkandas berdekatan sempadan Croatia dan Slovenia ekoran proses pendaftaran dan pemeriksaan yang perlahan.
Kebanyakan pelarian di pusat pemeriksaan Berkasovo terpaksa menempuh cuaca sejuk dengan suhu hampir sifar darjah Celsius dan hanya berlindung di pondok buatan sendiri yang dibina di tepi jalan.
Dalam perkembangan lain, jurukamera wanita yang sengaja menjatuhkan seorang pelarian Syria yang sedang mendukung anak lelakinya, mahu mengemukakan saman terhadap lelaki berkenaan.
Petra Laszlo yang dipecat daripada syarikat N1TV susulan insiden memalukan itu, berkata, dia akan menyaman Osama Abdul Mohsen, 52, ke­rana menukar kenyataan selepas pada awalnya menyalahkan polis.
Menurut portal Al Jazeera, wa­nita itu turut menimbangkan untuk menyaman laman sosial Facebook kerana menjadi platform video merakamkan dia menjatuhkan Osama ketika sedang melarikan diri, tersebar luas sehingga dia kehilang­an pekerjaan. – AFP