“Kami telah memutuskan (perlu ditubuhkan majlis peralihan kuasa) dan selepas pembentukan majlis itu, Bashar perlu melepaskan jawatannya,’’ katanya dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Jerman, Frank-Walter Steinmeier di sini.
Menteri Luar Jerman itu sedang dalam rangka lawatan kerja ke Arab Saudi selepas melawat Iran bagi mencari jalan menamatkan perang saudara di Syria.
Jerman telah mengambil kira-kira 600,000 pelarian dari Syria dan tempat lain sejak Januari lalu, ketika negara-negara Eropah bergelut menghadapi krisis pela­rian terbesar sejak tamat Perang Dunia Kedua.
“Sama ada peletakan jawatan itu berlaku hari ini, minggu ini atau mengambil tempoh sebulan, perkara itu diputuskan oleh rak­yat Syria (sendiri), namun sejak dari awal, adalah jelas Bashar tidak mempunyai masa depan lagi di Syria,’’ kata Jubeir.
Pembentukan majlis peralihan di Syria telah dicadangkan pada 2012 bagi mengendalikan pentadbiran di Syria dan melaksanakan proses pilihan raya.
Jubeir menjelaskan bahawa majlis itu boleh dibentuk di pejabat Bashar, namun selepas badan berkenaan ditubuhkan, beliau sudah tidak ada peranan lagi.
Steinmeier pada masa sama berkata, untuk jangka panjang, tidak nampak ada penyelesaian selagi Bashar berkuasa, ditambah dengan pembabitan tentera Rusia yang menyulitkan lagi keadaan.
“Kita tidak akan mencari penyelesaian pada peringkat awal, maka perang ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) perlu diteruskan sementara meneruskan proses transformasi politik di Syria,’’ katanya.
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh dalam gelombang serangan udara tentera Rusia di utara wilayah Latakia yang menjadi kubu kuat tentera kerajaan, semalam.
Pengarah Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, Rami Abdel Rahman berkata, serangan udara tentera Rusia dilancarkan di daerah Jabal al-Akrad, petang semalam.
“Antara yang terbunuh adalah orang awam, namun kami tidak mempunyai angka yang tepat,’’ kata Rami.– AFP