Selepas Finland mengikut jejak langkah Sweden untuk menghantar pulang puluhan ribu pelarian ke negara asal mereka, kini Jerman pula dijangka mengambil pendekatan sama secara berperingkat-peringkat.
Naib Canselornya, Sigmar Gabriel berkata, ketika ini, Jerman telah menyenaraikan beberapa negara termasuk Algeria, Maghribi dan Tunisia sebagai ‘negara asal yang selamat’.
Penyenaraian itu sekali gus bermaksud akan mengurangkan peluang rakyat negara-negara tersebut untuk memohon suaka.
“Sebahagian daripada kum­pulan pelarian dan pendatang ini juga akan dihalang daripada membawa masuk ahli keluarga mereka ke negara ini untuk tinggal bersama dalam tempoh dua tahun,” kata Gabriel.
Jerman yang merupakan satu daripada kuasa besar ekonomi Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini menerima kira-kira 1.1 juta pendatang yang kebanyakannya terdiri pela­rian dari Syria.
Sementara itu, Finland yang berdepan masalah hampir sama dengan Sweden dalam menangani kebanjiran pendatang asing ke negara mereka dijangka mengusir dua pertiga daripada 32,000 pencari suaka di negara itu, tahun lepas.
Pengarah Pentadbiran di Kementerian Dalam Negeri Finland, Paivi Nerg memberitahu AFP: “Secara prinsipnya, kita bercakap tentang dua pertiga yang bermaksud 65 peratus daripada mereka (pelarian/pendatang) akan ditolak permohonan suaka.”
Semalam, Menteri Dalam Negeri Sweden, Anders Ygeman berkata, pihaknya akan menghantar pulang kira-kira 80,000 pelarian yang gagal dalam permohonan mendapatkan suaka politik di negara tersebut.–AFP