Inisiatif Amerika Syarikat (AS) dan Rusia itu timbul, hasil daripada perbincangan kumpulan 17 negara dan satu gencatan senjata segera dijangka dilaksanakan seawalnya bulan depan.
Sekiranya rancangan untuk membawa kerajaan Presiden Bashar al-Assad ke meja rundingan bersama kumpulan penentang berjaya, langkah itu akan membolehkan AS dan Rusia memberikan tumpuan mereka untuk menyerang kumpulan militan Negara Islam (IS).
“Pada Januari, kami berharap dan menjangkakan semua pihak yang terlibat akan berada di meja rundingan dan mampu untuk melaksanakan gencatan senjata penuh.
“Ini bermakna, kesemua serangan bom tong, pengeboman, tembakan dan serangan oleh kedua-dua pihak akan dapat dihentikan,'' kata resolusi itu.
Majlis Keselamatan mengadakan pertemuan, semalam selepas pusingan terbaharu rundingan oleh Kumpulan Penyokong Antarabangsa Syria (ISSG) yang berkumpul di New York untuk memperbaharui desakan mereka untuk membawa keamanan di Syria.
Tumpuan kini beralih kepada Moscow dan Riyadh, ketika Rusia memberi tekanan kepada kerajaan Assad supaya bersetuju dengan gencatan senjata dengan Arab Saudi berkeras dengan kumpulan penentang supaya membentuk satu kumpulan rundingan.
Utusan khas PBB dalam konflik itu, Staffan de Mistura berkata, beliau akan menghantar jemputan kepada semua pihak terbabit untuk berunding pada Januari ini.
“Mari bersikap realistik. Kami bercadang dan berharap bahawa kami akan dapat melakukannya pada Januari ini,’’ katanya.
Amerika Syarikat dan negara-negara Arab percaya, Assad perlu mengosongkan jawatannya sebagai sebahagian daripada proses keamanan itu, namun Moscow menegaskan bahawa perkara itu adalah keputusan rakyat Syria sendiri. Resolusi itu bagaimanapun tidak menyentuh isu tersebut. – AFP