Tuesday 30 June 2015

2 serangan di Syria

Beirut: Kumpulan militan Negara Islam (IS) yang melancarkan dua serangan besar-besaran di utara Syria semalam berjaya menawan beberapa kawasan di bandar Hassakeh dan mara ke Kobani.
Beberapa aktivis dan pegawai memberitahu, puluhan orang mati atau cedera selepas IS meletupkan tiga bom kereta di Kobani.
Kobani kini dikuasai pejuang Kurdis selepas kumpulan itu mengusir militan IS dari bandar berkenaan awal tahun ini.
Serangan terbaru itu dilancarkan bagi membalas dendam selepas kumpulan IS tewas dalam beberapa pertempuran dengan pejuang Kurdis sejak beberapa minggu lalu.
Seramai 10 orang dilaporkan maut dalam pertempuran di Kobani selepas militan IS buat pertama kalinya berjaya masuk ke bandar itu dalam tempoh enam bulan.
Di Hassakeh pula, jurucakap pejuang Kurdis, Redur Khalil berkata, militan IS menyerang beberapa kampung yang dikuasai tentera kerajaan dan menawan beberapa kawasan.
Stesen televisyen Syria melaporkan, beberapa pertempuran sengit tercetus di kawasan kejiranan Nashawi di Hassakeh.
Menurut laporan, militan IS membunuh beberapa penduduk termasuk ketua unit barek tentera.
Tambahnya, Ramai militan IS juga terbunuh, termasuk seorang komander yang dipercayai rakyat asing.
Serangan ke atas Hassakeh dan Kobani itu berlaku beberapa hari selepas pejuang Kurdis dan kumpulan pejuang lain berjaya menawan kubu kuat IS di Tal Abyad dan bandar Ein Issa.
Sejak Januari lalu, pejuang Kurdis mara ke beberapa wilayah yang ditawan IS selepas mendapat bantuan serangan udara daripada tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:19 AM


SEORANG kanak-kanak yang cedera dalam serangan di Kobani dibawa untuk dirawat di Sanliurfa, Turki.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60241#sthash.DNoOtL8Z.dpuf

Perancis usir imam, ikrar tutup masjid

Paris: Perancis sudah mengusir atau menghantar pulang 40 imam sejak tiga tahun lalu, kerana menyampaikan khutbah berunsur kebencian dan suku daripada jumlah itu, dalam tempoh enam bulan lalu.
Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve hari ini, berikrar menutup masjid dan usir pendakwah yang menanam unsur kebencian selepas seorang lelaki didakwa radikal Islam, memenggal kepada majikannya di sebuah kilang gas minggu lalu.
Serangan itu dianggap pihak berkuasa Perancis sebagai pelampau walaupun lelaki berkenaan dipercayai melakukannya kerana sebab peribadi.
“Semua pendakwah asing atau yang menanam kebencian akan diusir,” kata Cazeneuve yang memberitahu beberapa masjid sedang dalam siasatan kononnya menggalakkan keganasan.
“Kita sudah menghantar pulang 40 pendakwah serta imam yang menanam kebencian sejak 2012. Tahun ini, 22 kes disiasat dan 10 imam serta pendakwah diusir,” katanya.
Ahad lalu, Yassin Salhi, 35, mengaku membunuh majikannya dan melekatkan kepala mangsa pada pintu pagar kilang di Lyon.
Lelaki itu juga didapati menghantar gambar selfie dirinya bersama kepala mangsa kepada rakan-rakannya di Syria.
Sumber polis menyatakan, Yassin dipercayai melakukan jenayah itu selepas berlaku pertelingkahan dengan majikannya itu dua hari sebelum kejadian.
Cazeneuve mengakui Yassin membunuh majikannya kerana sebab peribadi tetapi bertegas menuduh lelaki itu terbabit dalam pelampau Islam. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:51 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60969#sthash.1kpGgXqH.dpuf

Pelarian Syria di Lebanon perlu bantuan berbuka puasa


Sebahagian pelarian Syria berbuka puasa di sebuah kompleks di

SEBAHAGIAN pelarian Syria berbuka puasa di sebuah kompleks di Sidon, Lebanon, baru-baru ini. - AGENSI
SIDON, Lebanon 29 Jun – Pelarian Syria di Lebanon, terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.
Portal Lebanon, Daily Star me­laporkan, pelarian Syria itu bernasib baik kerana mereka menerima sumbangan daripada pelbagai pihak sepanjang bulan mulia ini.
Di sebuah dewan kompleks di Sidon yang menempatkan sejumlah pelarian Syria, air mata seorang wanita, Amani al-Afifi berlinangan kerana sedih mengenang nasib yang menimpa mereka.
Amani yang bekerja sebagai tukang jahit di Qusair, Syria sebelum konflik berkata, kehidupannya sekeluarga kini sudah berubah.
“Sebelum konflik Syria, semua­nya cantik. Kami selalu memberi makanan kepada penduduk miskin dan membantu anak-anak yatim. Kini situasinya sudah berubah, kami pula yang memerlukan bantuan,’’ katanya.
Wanita itu berkata, hidup mereka sudah musnah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pelarian-syria-di-lebanon-perlu-bantuan-berbuka-puasa-1.108764#sthash.Ougoepjx.dpuf

Saturday 27 June 2015

IS terus mara ke timur laut Syria

IS terus mara ke timur laut Syria
IS didakwa semakin mara ke bandar Hasakah selepas pertempuran sengit tercetus sejak kelmarin.

DAMSYIK - SYRIA . Kumpulan militan IS dilaporkan semakin mara ke bandar Hasakah di timur laut Syria dan turut merampas dua kawasan kejiranan daripada tentera kerajaan selepas pertempuran sengit tercetus, semalam.
 
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR) memaklumkan sekurang-kurangnya 50 termasuk 20 anggota IS terbunuh dalam insiden tersebut.
 
"Pertempuran itu tercetus selepas IS menggunakan seorang pengebom berani mati untuk melancarkan serangan di pusat pemeriksaan di bandar terbabit. Susulan daripada itu, IS kini berjaya menguasai dua daerah di bandar tersebut," kata pengarahnya, Rami Abdel Rahman.
 
Menurutnya lagi, kebanyakan penduduk di sekitar kawasan terbabit terpaksa melarikan diri dan mencari perlindungan di bahagian utara bandar itu.
 
Sebelum ini, IS pernah beberapa kali cuba untuk memasuki Hasakah selepas kumpulan militan terbabit semakin mara ke pinggir selatan bandar tersebut.
 
Dalam perkembangan lain, IS didakwa berjaya memasuki semula bandar sempadan Kobani selepas ia dikuasai oleh pejuang Kurdish pada Januari lalu. - Al-Arabiya

Wednesday 24 June 2015

Pemberontak Syria dibayar tentera AS

Pemberontak Syria dibayar tentera AS
Angkatan Tentera Bebas Syria (FSA) menyediakan meriam untuk dilancarkan ke arah pasukan yang setia kepada Presiden Syria Bashar al-Assad di bandar Quneitra.

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pemberontak Syria yang menerima latihan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) untuk menentang kumpulan militan IS dibayar AS$250 hingga AS$400 (RM936 hingga RM1,497) sebulan, bergantung kepada kemahiran, prestasi dan kedudukan kepimpinan, menurut Pentagon.
Jurucakap Jabatan Pertahanan, Kolonel Steve Warren berkata, seramai 2,000 pejuang Syria sedang menjalani latihan minggu lalu, manakala 1,500 lagi telah selesai pemeriksaan yang diperlukan.

"Minggu lalu, usaha latihan bergerak lebih perlahan daripada jangkaan kerana mengalami masalah memilih sukarelawan dan membawa mereka keluar dari Syria untuk menjalani latihan," katanya.

Difahamkan, hampir 6,000 penduduk Syria telah menawarkan diri untuk mengambil bahagian dalam usaha AS untuk melatih dan melengkapkan satu kuasa politik sederhana tentera Syria.

Sementara itu, menurut Jurucakap Gabungan Bersama Agensi Pasukan Petugas Syria, Kapten Scott Rye, terdapat juga beberapa kumpulan yang berhenti selepas menjalani latihan selama beberapa minggu.

"Antara sebab mereka keluar adalah kerana tidak memiliki kad pengenalan, di bawah umur atau tidak layak untuk latihan," katanya. - Reuters

Dua remaja digantung kerana tak puasa

Ramadan

DAMSYIK - SYRIA. Dua remaja di Syria digantung selepas didakwa makan pada waktu siang hari ketika Ramadan, menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia, kelmarin.

Penduduk di perkampungan Mayadeen di timur wilayah Deir Ezzor mendakwa kumpulan militan IS bertindak menggantung kedua-dua remaja lelaki berusia di bawah 18 tahun di atas palang berhampiran ibu pejabat polis di daerah tersebut.

"Mereka dibiarkan tergantung tanpa belas kasihan selama beberapa jam. Plakad tertera 'Mereka sengaja tidak berpuasa tanpa alasan yang kukuh' juga ditampal pada tubuh kedua-dua remaja terbabit," kata ketua kumpulan tersebut, Rami Abdel Rahman.

Terdahulu, Kementerian Hak Asasi Manusia Iraq mengumumkan 26 individu telah dihukum mati selepas didakwa bekerjasama dengan pasukan keselamatan untuk mengintip kegiatan IS di utara Kirkuk dan wilayah Nineveh.

Menurut kementerian, seorang gantung sampai mati manakala 25 lagi ditembak mati oleh skuad penembak di Nineveh. - Press TV

AS mengaku latih penentang kerajaan Syria


anggota penentang kerajaan Syria dari Batalion Pertama Tentera

Anggota penentang kerajaan Syria dari Batalion Pertama Tentera Bebas Syria menjalani latihan menembak di bandar Aleppo di utara Syria pada 10 Jun lalu. AFP
WASHINGTON 23 Jun – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengakui membayar upah antara AS$250 (RM931) dan AS$400 (RM1,489) seorang setiap sebulan kepada anggota kumpulan penentang kerajaan Syria untuk membantu memerangi Kumpulan Militan Negara Islam (IS).
Jurucakap Pentagon, Komander Elissa Smith berkata, latihan kumpulan pertama melibatkan kira-kira 90 anggota penentang telah bermula pada bulan lalu dan bayaran ber­kenaan dibuat bergantung kepada kemahiran, prestasi dan kedudukan kepimpinan setiap anggota kumpulan berkenaan.
Smith berkata, proses merekrut kumpulan penentang itu dijangka memakan masa beberapa bulan dan Pentagon menjangkakan kira-kira 3,000 anggota penentang akan dilatih pada hujung tahun ini.
“Objektif utama Pentagon adalah untuk melatih 5,400 orang dalam tempoh 12 bulan bermula bulan lalu.
“Bagi faktor keselamatan, Pentagon tidak akan mengumumkan bila kumpulan penentang kerajaan Syria yang dilatih tentera AS itu akan memasuki semula negara itu untuk memerangi kumpulan militan IS,” kata Smith tanpa mendedahkan jumlah sebenar penentang yang te­lah menerima latihan.
Beliau juga tidak mendedahkan jumlah anggota kumpulan penentang yang menerima bayaran daripada kerajaan AS setakat ini bagi menentang ancaman militan IS di Syria.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Steve Warren berkata, kira-kira 200 anggota penentang menjalani latihan ketenteraan pada minggu lalu dan seramai 1,500 orang lagi telah selesai menjalani beberapa pemeriksaan yang ditetapkan.
Warren, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah anggota kumpulan penentang yang dibayar oleh kerajaan AS walaupun laporan menyebut kira-kira 6,000 rakyat Syria secara sukarela mahu menyertai latihan anjuran AS bagi membentuk pasukan tentera yang berfahaman sederhana.
“Usaha melatih kumpulan penentang Syria berjalan perlahan disebabkan kesukaran melakukan saringan ke atas sukarelawan dan membawa mereka keluar dari negara terbabit bagi menjalani latihan,” kata beliau. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/as-mengaku-latih-penentang-kerajaan-syria-1.106367#sthash.J0tGMOn8.dpuf

Tuesday 23 June 2015

80,000 militan asing banjiri Syria

80,000 militan asing banjiri Syria
Puluhan ribu militan asing tersebut dipercayai mendapat latihan di Israel, Jordan dan AS.

DAMSYIK -  SYRIA. Duta Syria ke PBB, Bashar Ja'afari memaklumkan kira-kira 80,000 militan asing telah memasuki Syria melalui Turki dan Jordan.
Bashar turut mendedahkan anggota kumpulan Jaish al-Fath dan Jaish al-Yarmouk yang beroperasi di bawah arahan Barisan al-Nusra telah dilatih di Israel, Jordan dan Amerika Syarikat (AS).
Jumaat lalu, Jabatan Negara AS mengeluarkan laporan yang mendakwa Ankara telah menjadi laluan transit kepada militan asing yang mahu menyertai perjuangan di Syria pada tahun lalu lapor Press TV.
AS dan beberapa sekutunya seperti Qatar, Arab Saudi dan Turki didakwa menyokong kumpulan militan di Syria sejak negara itu mula bergolak pada 2011.
Menurut laporan PBB, lebih 220,000 telah terkorban manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal akibat krisis berlarutan di negara itu sejak empat tahun lalu. 

Monday 22 June 2015

Angelina Jolie lawat pelarian Syria



REUTERS - JOLIE (tengah) dikelilingi pelarian Yazidi, pihak berkuasa dan pihak media ketika tiba di kem pelarian Syria dan Iraq di bandar Midyat di wilayah Mardin, selatan Turki kelmarin.


INSTANBUL – Aktres dan pemenang anugerah Oscar, Angelina Jolie sekali lagi tampil membantu masyarakat pelarian apabila melawat satu kem di selatan Turki yang menempatkan beribu-ribu penduduk Syria yang melarikan diri akibat pepe­rangan.
Bintang Hollywood dan Duta Khas kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu telah melawat kem di Mardin sempena Hari Pelarian Sedunia bersama Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Orang Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres.
Sebelum itu mereka menemui Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang turut berada di bandar tersebut.
“Kami di sini atas satu sebab yang mudah iaitu kawasan ini adalah pusat krisis global,” beri­tahu Jolie kepada pemberita.
“Ini bukan sahaja krisis pelari­an tetapi krisis keselamatan global yang membawa kepada krisis pelarian yang paling teruk pernah direkodkan apabila berlaku perpindahan besar-besaran dalam satu masa,” katanya.
Lawatan Jolie dan Guterres dibuat selepas PBB pada Khamis lalu menyatakan jumlah penduduk yang terpaksa melarikan diri akibat perang, keganasan dan penganiayaan mencatat jumlah 59.5 juta dengan sebahagian daripadanya adalah kanak-kanak. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3djzPei1d 
Hakcipta terpelihara 

Thursday 18 June 2015

'Roket gajah' ragut puluhan nyawa di Syria

'Roket gajah' ragut puluhan nyawa di Syria
Penduduk berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.

DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan udara 'roket gajah' yang dilancarkan rejim Syria di pinggir bandar Douma, kelmarin, menurut aktivis.

"Lebih 60 yang lain termasuk kanak-kanak turut cedera dalam serangan itu," katanya.

Menurut laporan al- Jazeera, dalam rakaman sebuah video yang disiarkan dalam talian semalam, penduduk dilihat berusaha menyelamatkan saudara mereka yang terperangkap selepas sebuah bangunan musnah dibedil.

Difahamkan, nama roket yang diambil kerana memiliki bunyi tersendiri apabila dilancarkan itu merupakan senjata diubahsuai yang diperbuat dengan cara memasang roket motor bersama bom lebih besar.

Hasil gabungan dua bahan letupan 

Monday 15 June 2015

Pejuang Kurdish hampiri bandar Raqqa

Pejuang Kurdish hampiri bandar Raqqa
Pejuang asing yang menyertai YPG mengambil tempat ketika sesi latihan di utara Syria. - Foto AFP

DAMSYIK - SYRIA . Pejuang Kurdish Syria kini dilaporkan telah mara ke arah utara sempadan negara di bandar Tal Abyad dekat wilayah Raqqa, yang ditawan kumpulan militan IS.
 
Menurut Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) kini berada beberapa kilometer (km) di timur Tal Abyad, iaitu pusat pentadbiran daerah di Raqqa.
 
Dalam satu kenyataan kelmarin, YPG berkata, kumpulan militan Takfiri telah hilang kawalan di bandar Suluk, kira-kira 20 km di tenggara bandar terbabit.
 
Laporan juga menyebut, YPG telah menawan semula beberapa kampung.
 
Selain itu, anggota militan Takfiri turut diusir dari laluan bekalan strategik yang menghubungkan Tal Abyad dengan Raqqa.
 
Difahamkan, penaklukan semula Tal Abyad bakal menjadi tamparan hebat kepada IS, yang menggunakan sempadan bandar berhampiran Turki untuk penjualan minyak secara haram dan menyeludup militan asing ke Syria. - Press TV

Thursday 11 June 2015

Salah kerajaan


Paris: Seorang wanita Perancis menyaman kerajaan semalam kerana gagal menghalang anak lelakinya meninggalkan negara itu untuk menyertai Negara Islam (IS) di Syria.

Remaja yang dikenali sebagai ‘B’ itu berusia 16 tahun ketika melarikan diri bersama tiga rakannya dari bandar Nice di selatan Perancis pada 27 Disember 2013 tanpa memaklumkan keluarganya.

Remaja yang baru memeluk Islam itu menaiki pesawat ke Turki sebelum meneruskan perjalanan melalui jalan darat memasuki Syria.

Ibunya yang berhubung dengan remaja terbabit melalui telefon baru-baru ini berkata, anaknya masih di sana.

Katanya, dia hanya mengesyaki perancangan anaknya beberapa hari sebelum kehilangan remaja itu selepas dimaklumkan remaja lain di kejiranan mereka.

Dia cuma memaklumkan polis mengenai kehilangan anaknya selepas hilang 24 jam.

Peguam keluarga berkenaan, Samia Maktouf berkata, Turki terkenal sebagai laluan ke Syria.

“Polis melakukan kesilapan besar apabila membenarkan remaja bawah umur yang tidak ditemani orang dewasa pergi ke Turki sedangkan hanya mempunyai tiket penerbangan sehala dan tidak membawa bagasi,” katanya.

Sehubungan itu, wanita terbabit yang turut mempunyai tiga anak lain menuntut ganti rugi 110,000 euro (RM460,000) daripada kerajaan untuknya sekeluarga.

“Keluarga ini bukan semata-mata berminat dengan wang, namun mahu kerajaan mengakui kesilapan membiarkan remaja bawah umur terlepas seperti itu,” kata Samia.

Kementerian dalam negeri dalam satu surat kepada keluarga terbabit berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab kerana budak itu bukan suspek yang dalam siasatan selain tiada asas dari segi perundangan untuk menghalangnya menaiki penerbangan itu.

Perancis mempunyai jumlah penduduk Muslim tertinggi di Eropah malah paling ramai dari situ yang menyertai perang di Asia Barat.

Kerajaannya menganggarkan 500 rakyat atau penduduk Perancis menyertai konflik di Syria.

Beberapa remaja bawah umur dihalang menyertai perang itu tahun lalu, kebanyakannya hasil maklumat disalurkan keluarga.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan undang-undang membolehkannya merampas kad pengenalan dan pasport daripada pihak yang disyaki mahu ke Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56790#sthash.HKU2qXsu.dpuf

RM12 juta untuk pelarian buka puasa


Jeddah: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Putera Mahkota Mohammed bin Naif menyediakan peruntukan sebanyak SR12 juta (RM12 juta) untuk menyediakan juadah berbuka bagi pelarian Syria dan Somalia sepanjang Ramadan akan datang.

Penasihat putera itu Saed Al-Arabi Al-Harthi berkata, peruntukan itu disediakan atas arahan Raja Salman.

Katanya, jumlah peruntukan yang diluluskan putera mahkota itu mencecah SR12.3 juta (RM12.3 juta).

Ia akan diagihkan kepada pelarian Syria di Jordan, Lubnan dan Turki serta pelarian Somalia.

“Persiapan sudahpun dibuat untuk mengagihkan peruntukan itu ke seluruh negara berkenaan melalui pejabat Kempen Bantuan Saudi,” kata Saed.

Menurutnya, 30,000 kotak makanan diedarkan di Lubnan, 300,000 di Turki, 6,000 di Jordan dan 30,000 di Somalia.

Program ini dirangka bagi memenuhi keperluan keluarga pelarian pada bulan Ramadan, kata Saed.

“Kami akan mengagihkan makanan itu dengan bantuan pertubuhan bantuan tempatan dan juga antarabangsa,” katanya.

Menjurut Saed, Arab Saudi setakat ini sudah membelanjakan lebih SR1.41 bilion (RM1.41 bilion) untuk aktiviti kemanusian bagi pelarian Syria dan Somalia dengan melaksanakan 176 program bantuan termasuk menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan, perkhidmatan sosial, kesihatan dan khidmat pendidikan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:21 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57007#sthash.4cS7QdH1.dpuf

Penentang tawan pangkalan tentera


Beirut: Gabungan penentang Syria memberi satu lagi tamparan kepada rejim negara itu apabila menawan sebuah pangkalan tentera utama di selatan negara itu lewat kelmarin.

Kumpulan itu kini menguasai sepenuhnya pangkalan Briged Ke-52 di wilayah Daraa selepas pertempuran sengit selama 24 jam, kata jurucakapnya Mejar Essam al-Rayes.

“Briged Ke-52 dibebaskan sepenuhnya daripada kawalan tentera rejim. Sekurang-kurangnya 2,000 pejuang penentang terbabit dalam serangan itu.

“Pangkalan itu antara barisan pertahanan utama tentera rejim yang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap semua lokasi di timur wilayah ini,” katanya.

Pangkalan itu terletak berhampiran lebuh raya utama dari Damsyik ke sempadan Jordan di selatan Syria selain berhampiran dengan wilayah Sweida yang rata-rata dikuasai tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad.

Jurucakap satu lagi kumpulan dalam barisan berkenaan, Diaa al-Hariri berkata, pangkalan itu sebelum ini menjadi tapak melancarkan serangan tentera darah Bashar.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mengesahkan kumpulan penentang menawan pangkalan itu selepas pertempuran mengakibatkan kematian 15 pejuang dan 20 tentera kerajaan.

Pengarahnya Rami Abdel Rahman berkata, penentang turut menawan dua perkampungan, termasuk Al-Rakham, pekan yang majoriti penduduknya penganut Kristian selepas tentera Syria berundur ke pekan berhampiran, Al-Dara.

Agensi rasmi SANA tidak melaporkan berita tawanan pangkalan berkenaan.

Ia bagaimanapun, berkata, sebelum ini, 40 orang terbunuh dalam pertempuran di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:21 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57008#sthash.ccD1EMp2.dpuf

Penentang Syria tawan pangkalan tentera

beberapa anggota kumpulan penentang berkumpul di pintu gerbang

Beberapa anggota kumpulan penentang berkumpul di pintu gerbang di pintu masuk ke pangkalan tentera Briged 52 yang terpampang poster Presiden Syria, Bashar Al-Assad (kanan) dan allahyarham bapanya, Hafez Al-Assad (kiri) selepas mereka menawan pangkalan itu di wilayah Daraa, kelmarin. REUTERS

BEIRUT 10 Jun - kUMPULAN penentang kerajaan menawan sebuah pangkalan utama tentera Syria di wilayah Daraa, selatan negara itu, semalam, kekalahan terbaharu yang dialami pihak tentera kerajaan.
Jurucakap kumpulan penentang berkata, perikatan Barisan Selatan menawan pangkalan Briged 52 di wilayah Daraa, selepas berlaku pertempuran sengit hampir 24 jam dengan tentera kerajaan.
“Pangkalan Briged 52 kini ditawan sepenuhnya daripada tentera kerajaan,” ujar Mejar Essam al-Rayes, sambil menambah kata, kira-kira 2,000 anggota bersenjata kumpulan penentang menyertai serangan ‘singkat dan cepat’ itu.
Pangkalan itu terletak berhampiran lebuh raya utama menghubungi Damsyik ke sempadan selatan Syria dengan Jordan dan juga berhampiran sempadan hadapan dengan wilayah Sweida, yang sebahagian besar dikuasai tentera Syria.
“Pangkalan ini merupakan satu daripada barisan pertahanan utama tentera Syria. Mereka menggunakan pangkalan ini untuk melindungi kesemua kawasan di timur wilayah Daraa,” ujar Essam.
Katanya, kumpulan penentang akan melancarkan serangan lanjut dari pangkalan itu tidak lama lagi.
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria mengesahkan kumpulan penentang kerajaan itu telah menawan pangkalan utama tentera itu yang mengakibatkan 15 anggota penentang kerajaan dan 20 askar kerajaan terkorban dalam pertempuran tersebut.
Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata, Barisan Selatan turut menawan dua buah kampung termasuk Al-Rakham ketika askar kerajaan berundur ke kampung Al-Dara yang terletak berhampiran. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penentang-syria-tawan-pangkalan-tentera-1.101336#sthash.6h6Dp4hF.dpuf

Wednesday 10 June 2015

Enam kanak-kanak mangsa serangan udara Syria

Enam kanak-kanak mangsa serangan udara Syria
Keadaan selepas serangan bom tong yang digunakan tentera rejim pada 3 Jun lepas. - Foto AFP

BEIRUT - LEBANON. Seramai 49 orang awam terbunuh termasuk enam kanak-kanak dalam serangan udara tentera kerajaan Syria di sebuah bandar di Idlib, Syria semalam.

Menurut laporan AFP, serangan tersebut tepat mengenai bandar Al-Janudiyah yang berada di bawah kawalan tentera pemberontak.

"Kawasan tersebut adalah kawasan tumpuan awam, ramai (orang awam) berada disana kerana adanya kedai-kedai," kata Pengarah Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman.

Katanya, pelarian dari beberapa kawasan juga menjadikan Al-Janudiyah sebagai tempat perlindungan.

"Tentera rejim melancarkan roket dari pesawat," jelasnya lagi.

Sebuah video yang dirakam aktivis dimuatnaik ke laman video Youtube,  menunjukkan kemusnahan dan huru-hara akibat serangan berkenaan, selain kerosakan dan mayat mangsa yang berselerakan.

Pihak berkuasa tempatan juga dilihat membantu dalam operasi menyelamat dan menggunakan jentera untuk mencari mangsa terperangkap disebalik runtuhan bangunan.

Al-Janudiyah yang berada di bawah pengaruh pemberontak sejak 2013 baru-baru ini jatuh ke tangan jaringan Al-Qaeda, Al-Nusra Front.

Walaupun kekurangan posisi di bandar berkenaan, tentera rejim berterusan melancarkan serangan udara, termasuk penggunaan bom tong yang dikecam kumpulan hak asasi manusia.

‘Askar digital' godam sesawang tentera AS

‘Askar digital' godam sesawang tentera AS
Salinan paparan akaun Twitter Syrian Electronic Army

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Tentera Amerika Syarikat (AS) mengaku laman sesawang mereka digodam oleh Syrian Electronic Army (SEA), semalam.

"Hari ini (semalam) kandungan pembekal rangkaian telah digodam. Selepas kami mengetahui (digodam), pihak tentera mengambil langkah pencegahan untuk memastikan tiada pencerobohan ke atas maklumat tentera dengan menutup laman tersebut untuk sementara," kata jurucakap tentera, Malcom B. Frost kepada CNN.

Pihak SEA kemudian mendakwa bertanggungjawab melakukan pencerobohan berkenaan di laman mikro Twitter dengan berkongsi salinan paparan laman sesawang tentera AS tersebut.

Antara mesej yang terkandung dalam pencerobohan tersebut adalah: "Anda telah digodam. Komander anda melatih anda untuk mati berperang),"

Difahamkan, laman sesawang berkenaan berfungsi sebagai penyaluran maklumat untuk orang awam dan tidak mengandungi sebarang maklumat sulit.

SEA merupakan kumpulan pengodam pro-Assad dan mempunyai beberapa sejarah jenayah siber, termasuk menggodam Chicago Tribune dan Associated Press.

Pada 2013, SEA membuat pengumuman palsu menggunakan akaun Twitter Associated Press mengenai pusat pentadbiran, White House di AS telah diserang

Militan IS jual remaja perempuan di pasaran hamba

Zainab Bengura

Zainab Bengura

NEW YORK 9 Jun – Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mendedahkan, remaja-remaja perempuan yang diculik anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria dipercayai dijual di pasaran hamba ‘pada harga serendah sekotak rokok’.
Pendedahan itu dibuat wakil PBB, Zainab Bangura yang melawat Iraq dan Syria pada April lalu, dan sejak itu mengusahakan satu pelan tindakan bagi menangani jenayah seksual yang dilakukan kumpulan militan IS.
“Ini merupakan satu perang ke atas tubuh wanita,’’ katanya.
Wakil PBB itu telah bercakap dengan wanita dan kanak-kanak perempuan yang terselamat daripada cengkaman IS di kawasan yang dikuasai kumpulan militan itu termasuk pemimpin agama tempatan, pemimpin politik serta melawat kem pelarian di Turki, Lebanon, dan Jordan.
Anggota kumpulan militan IS berterusan membuka pasaran hamba menjual kanak-kanak perempuan yang diculik semasa melancarkan serangan, namun jumlah mangsa yang dijadikan hamba tidak diketahui.
“Mereka menculik dan melarikan wanita di kawasan yang ditawan, malah mereka juga mempunyai stok gadis baharu.
“Kanak-kanak dijual pada harga serendah sekotak rokok sehingga ratusan atau ribuan dolar,’’ katanya.
Bangura turut mendedahkan pengalaman pahit yang dialami beberapa remaja perempuan kebanyakannya etnik Yazidi yang menjadi mangsa kumpulan militan IS.
“Beberapa orang remaja perempuan Yazidi dikurung di dalam bilik di sebuah rumah kecil dengan lebih 100 perempuan sebelum dibogelkan dan dijual sebagai hamba,’’ katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/militan-is-jual-remaja-perempuan-di-pasaran-hamba-1.100945#sthash.7PA7IXfJ.dpuf

Tuesday 9 June 2015

20 maut serangan tentera regim Syria di Wilayah Idlib

SEKURANG-KURANGNYA 20 orang awam maut, termasuk tiga kanak-kanak apabila tentera kerajaan Syria melancarkan serangan udara di sebuah pekan di Wilayah Idlib di barat daya Syria. REUTERS
BAITULMAQDIS: Sekurang-kurangnya 20 orang awam maut, termasuk tiga kanak-kanak apabila tentera kerajaan Syria melancarkan serangan udara di sebuah pekan di Wilayah Idlib di barat daya Syria, hari ini.
Badan Pemantauan Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan disasarkan di sebuah dataran di pekan Al-Janudiyah, di barat wilayah itu yang kini keseluruhannya dikuasai tentera pemberontak. - AFP

Friday 5 June 2015

Kerajaan Syria Bom Penempatan Awam, 37 Terbunuh


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 11:21 AM

BEIRUT: Seramai 10 kanak-kanak merupakan antara 37 orang awam yang terkorban dalam serangan bom oleh pihak kerajaan di utara Syria pada Rabu.
Pemerhati Hak Asasi Manusia terhadap Syria memberitahu, kematian tersebut berlaku dalam tiga kejadian di wilayah Aleppo serta di wilayah Idlib di bahagian barat laut negara berkenaan.
Pemerhati yang berpangkalan di Britain itu menjelaskan, seramai 18 orang awam yang terbunuh termasuk lapan kanak-kanak apabila helikopter kerajaan menjatuhkan sekurang-kurangnya empat bom tong di kawasan Tal Rifaat di Aleppo.
Di bandar Aleppo pula, 11 orang awam termasuk dua kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia apabila bom diletupkan di bahagian timur kawasan kejiranan pemberontak di Jubb al-Qubbeh.
Manakala di wilayah Idlib, lapan ahli keluarga meninggal dunia apabila serangan bom dilakukan di bandar Kafr Sijna.
Pemerhati yang bergantung kepada rangkaian sumber di darat berkata, jumlah kematian dijangka meningkat berikutan ramai mangsa yang mengalami kecederaan serius.
Bom serta senjata buatan sendiri yang dicipta menggunakan bekas yang diisi bahan letupan sering digunakan untuk menyerang sekolah, hospital serta pasar-pasar di Syria.
Kumpulan hak asasi manusia mengkritik tindakan pihak tentera dan menyatakan kerajaan membunuh lebih banyak orang awam berbanding pemberontak.

Monday 1 June 2015

Ribuan migran diselamatkan di Mediterranean

Ribuan migran diselamatkan di Mediterranean
Kebanyakan pendatang melarikan diri dari negara asal untuk mencari kehidupan lebih baik.

ROM - ITALI. Lebih 4,200 pendatang dibawa ke selatan Itali selepas diselamatkan di Mediterranean dalam tempoh 24 jam, menurut pengawal pantai negara itu.

Difahamkan, kesemua migran diselamatkan dari bot nelayan kayu pada Jumaat dan kelmarin dalam operasi melibatkan kapal dari beberapa negara termasuk Itali, Ireland, Belgium dan Britain.

Panggilan kecemasan dibuat daripada 22 bot berbeza, di mana kebanyakannya berada di luar Libya dan luar pantai selatan Itali.

Jumlah migran yang diselamatkan dalam tempoh 24 jam lalu juga merupakan antara tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hari paling banyak mangsa diselamatkan tahun ini adalah pada 12 April iaitu seramai 3,791 orang.

Lebih 40,400 pendatang melarikan diri dari konflik dan kemiskinan di negara asal mereka seperti Syria serta Eritrea telah tiba di Itali sejak awal tahun ini. - Al Jazeera

Pemberontak tawan bandar terakhir di Syria

Pemberontak tawan bandar terakhir di Syria
Pemberontak Nusra Front berjalan di sekitar bandar selepas mereka menakluki bandar Jisr al-Shughour, bulan lalu.

AMMAN - SYRIA. Tentera Syria dilaporkan berundur dari bandar Ariha selepas gabungan pemberontak merampas bandar terakhir di wilayah Idlib di barat laut negara berhampiran Turki.

Gabungan dikenali sebagai Jaish al-Fateh atau Penaklukan Tentera Darat itu turut terdiri daripada sekutu al-Qaeda, Nusra Front yang dipercayai adalah sebahagian besar daripada kumpulan terbabit.

Jurucakap tentera dalam satu kenyataan berkata, gabungan berkenaan telah mengambil alih bandar dan menakluki beberapa pusat pemeriksaan negara itu.

"Terdapat pertempuran sengit antara tentera dan pengganas Jabahat al Nusra selepas mereka menyusup masuk ke dalam bandar. Susulan daripada itu, unit angkatan tentera dipindahkan dari kedudukan mereka di Ariha ke kawasan lebih selamat di sekitar bandar," katanya. - Reuters