Presiden Bashar al-Assad
Presiden Syria, Bashar al-Assad
ROM - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry berkata Presiden Syria, Bashar al-Assad perlu meletak jawatan terlebih dahulu bagi  menyelesaikan konflik politik yang sedang berlaku di Syria.
 
Kerry membuat cadangan itu semasa bertemu dengan rakan sejawatannya, Nasser Judeh, semalam.
 
Beliau berkata, semua pihak telah berusaha bagi melaksanakan sebuah kerajaan peralihan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak dan sebulat suara bersetuju Assad tidak akan menjadi sebahagian komponen dalam kerajaan peralihan.
 
Dalam pertemuan itu, Kerry turut mengumumkan kerajaan AS akan menyalurkan dana kemanusiaan sebanyak AS$100 juta (RM298 juta) untuk pelarian Syria.
 
“(Seramai) 10 peratus penduduk Syria kini sudah menjadi pelarian dan jumlah ini dijangka meningkat kira-kira 20 hingga 25 peratus menjelang akhir tahun ini. Ia juga dijangka terus meningkat kepada 40 peratus pada pertengahan 2014,” katanya.
 
Setakat ini, lokasi rundingan berhubung konflik itu masih lagi belum ditetapkan tetapi kemungkinan Geneva akan menjadi tuan rumah rundingan yang bakal diadakan akhir bulan ini.
 
Kerry menambah, Duta AS ke Syria, Robert Ford juga sudah bertemu dengan pembangkangSyria Rabu lalu bagi membincangkan cara bagi menghalang konflik negara itu dari terus meruncing.