Friday 19 September 2014

Turki Buka Sempadan Kepada Puak Kurdish Syria


Diterbitkan: Jumaat, 19 September 2014 7:21 PM
Pelarian Syria - kebanyakkannya wanita dan kanak-kanak berbaris untuk menerima bantuan makanan dan selimut.

ANKARA: Kerajaan Turki pada Jumaat telah membuka sempadannya kepada beribu rakyat Syria berbangsa Kurdish berikutan keadaan tidak aman di Syria.
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, mereka telah membuka pintu sempadan kepada warga Syria berbangsa Kurdish atau lain-lain etnik atas dasar kemanusiaan.
"Kita akan terima saudara kita yang mahu ke Anatolia (Turki) dari Syria atau ke mana-mana tempat yang mereka mahu tanpa ada diskriminasi," ujar Davutoglu kepada pemberita di Azerbaijan.
Katanya, warga Syria berbangsa Kurdish telah mula memasuki pintu sempadan Turki dan jumlah yang menyeberangi sempadan kini telah mencecah kepada 4,000 pelarian.
Ini adalah soal kemanusiaan bukan politik, katanya lagi.
Keputusan untuk membuka pintu sempadan di Syria itu buat selepas Ankara, yang setakat ini telah menanggung kemasukan lebih 1.5 juta pelarian Syria sejak konflik di negara itu tercetus dikatakan tidak dapat menanggung beban daripada jumlah pelarian yang semakin ramai.
"Selagi Turki mampu, dan mempunyai kapasiti untuk menampung jumlah pelarian, kita akan terus membantu mereka yang memerlukan perlindungan," ujar beliau lagi.
mstar

Dana PBB kian meruncing salur bantuan makanan kepada Syria

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini semakin kekurangan dana untuk menyalurkan bantuan makanan kepada lebih enam juta pelarian Syria akibat konflik di negara itu sehingga terpaksa mengadakan catuan bekalan dalam masa terdekat.
Jurucakap Program Pemakanan Dunia PBB, Bettina Luescher, berkata bekalan makanan untuk dua juta pelarian Syria yang masih berada di negara itu akan dikurangkan manakala makanan dan baucar makanan untuk pelarian di negara jiran juga akan dicatu.
Luescher berkata, agensi itu memerlukan lebih AS$1 bilion untuk program kecemasannya bagi tahun ini khusus kepada pelarian Syria namun setakat ini hanya memperoleh AS$410 juta.
Operasi bantuan kemanusiaan terutama penyaluran makanan kepada penduduk Syria yang menjadi pelarian di tanah air sendiri memerlukan peruntukan AS$915 juta namun hanya menerima AS$324 juta sahaja.
Makanan untuk empat juta pelarian Syria di negara jiran juga akan dikurangkan bermula bulan depan dengan hanya menerima kurang daripada 60 peratus nilai makanan berkhasiat. - AP

Pentagon latih pemberontak Syria


Sukarelawan Syiah yang membantu tentera Iraq menentang kumpulan militan IS menjalani latihan ketenteraan di padang pasir di wilayah Najaf pada 16 September lalu. - REUTERS
WASHINGTON 18 Sept. - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) memberi lampu hijau untuk melaksanakan pelan yang memberi kebenaran kepada Pentagon untuk melatih dan menyalurkan bantuan senjata kepada kumpulan pemberontak di Syria, sebagai usaha memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).
Pelan tersebut hanya akan berkuatkuasa sepenuhnya jika Dewan Senat meluluskan usul tersebut pada hujung minggu ini.
Pelan itu juga akan mengenepikan cadangan Pengerusi Ketua-Ketua Turus Tentera AS, Jeneral Martin Dempsey yang mendedahkan rancangan Washington untuk membantu tentera Iraq melancarkan serangan darat bagi menawan semula kebanyakan kawasan di utara negara itu yang dikuasai militan IS.
Bagaimanapun pelan berkenaan mendapat tentangan daripada segelintir wakil Parti Demokrat dan Parti Republikan, yang khuatir AS akan terjerumus dalam kancah peperangan di Iraq sekali lagi selepas menceroboh negara itu pada 2001 untuk menggulingkan Presiden Saddam Hussein.
Malah pelan yang dikemukakan itu akan mengheret sejumlah pegawai tentera AS menyertai barisan hadapan perang ke atas IS, walaupun Presiden Barack Obama sebelum ini berikrar memastikan tiada rakyat negara ini terlibat dalam peperangan di Iraq.
Wakil Demokrat dan Republikan turut menyuarakan keraguan terhadap strategi White House dan kemampuan pasukan keselamatan Iraq dan Syria untuk memerangi IS, selain mempersoalkan sama ada Obama mempunyai kuasa untuk melancarkan operasi jangka panjang.
Lebih 1,600 penasihat tentera AS dikerah membantu pasukan keselamatan Iraq.
Obama tidak membenarkan tenteranya terlibat dalam operasi di darat dan hanya melancarkan serangan udara ke atas kedudukan IS.
AS telah melancarkan lebih 160 serangan udara ke atas sasaran IS di Iraq dan Obama turut meluluskan tindakan yang sama ke atas kubu kuat militan itu di Syria. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140919/lu_03/Pentagon-latih-pemberontak-Syria#ixzz3Di6PQvGj
© Utusan Melayu (M) Bhd