Mereka terdiri daripada kumpulan pertama pelarian seramai 131 orang kebanyakannya dari Pakistan dan Bangladesh yang menaiki feri dan kapal besar Nezli Jale dari Pulau Lesbos di Greece.
Kedua-dua kapal tersebut diiringi agensi pengurusan sempadan EU, Frontex bagi memastikan proses penghantar balik pelarian tersebut berjalan lancar dan kapal pertama membawa pelarian tiba di pekan Dikili, barat Turki beberapa jam kemudian.
Menurut jurucakap Frontex, Ewa Moncure, anggota polis dan polis antirusuhan turut dikerah bagi memastikan proses penghantaran pelarian itu berjalan secara tenang dan teratur.
Khemah merah turut dipasang di sepanjang kawasan pelabuhan sebagai tempat penempatan sementara, sebelum semua pelarian dipindahkan ke tempat lain.
Sebuah lagi kapal Turki belayar dari Pulau Chios, tetapi jumlah pelarian yang dibawa tidak dapat dipastikan.
Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui Turki dan EU pada Mac lalu, semua pelarian atau pendatang yang tiba di benua Eropah selepas 20 Mac akan dihantar semula ke Turki.
Menteri Hal Ehwal EU, Volkan Bozkir pula berkata, penghantaran tersebut tidak melibatkan pelarian Syria.
Dalam perkembangan sama, berpuluh-puluh aktivis berkumpul di Pulau Chios bagi membantah penghantaran pulang pelarian terbabit ke Turki yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan, tidak beretika dan menyalahi undang-undang hak asasi manusia.
Aktivis turut membawa kain ren­tang tertera slogan Hentikan perjanjian kotor, Hentikan pengusiran dan Bangkit Eropah di Pulau Lesbos bagi membantah perjanjian tersebut.