• Assad jadi sasaran bom pagi SyawalAssad bersama beberapa mufti bersalaman selepas solat Aidilfitri di Damsyik. Foto: EPA
 1 / 1 
DAMSYIK - Presiden Syria Bashar al-Assad menjadi sasaran bom ketika dalam perjalanan menunaikan solat Aidilfitri di Damsyik, semalam.

Media melaporkan, rangkaian Kumpulan Tentera Pembebasan (FSA) mendakwa, mereka sentiasa memantau pergerakan Assad sepanjang minggu ini.

“Difahamkan, FSA ada melepaskan bedilan roket pada rombongan tentera rejim ketika mereka dalam perjalanan ke masjid,” menurut laporan itu.

Menteri Maklumat Omran Zoabi bagaimanapun, menyangkal dakwaan itu dan menganggapnya sebagai usaha untuk menggugat keselamatan negara.

“Tuduhan itu palsu. Perjalanan kami ke masjid lancar tanpa gangguan,” katanya menurut Press TV.

Sementara itu, stesen televisyen tempatan mendakwa, Assad dan beberapa mufti dilihat menunaikan solat Aidilfitri selepas kali terakhir dilihat di khalayak ramai minggu lalu di Masjid Anas Malik di Damsyik.