Monday 30 November 2015

Rusia Haramkan Kelab Bola Sepak Guna Khidmat Pemain Turki


Diterbitkan: Isnin, 30 November 2015 10:02 AM
Vladimir Putin (kiri) mengambil tindakan kurang bijak apabila mengharamkan pemain Turki daripada beraksi di liga negara berkenaan.

PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin dilapor telah mengharamkan kelab bola sepak negara itu daripada menggunakan khidmat pemain Turki bermula 2016.
Tindakan tidak bijak itu dibuat berikutan dendam Rusia terhadap Turki yang menembak jatuh pesawat pejuang negara berkenaan ketika menceroboh ruang udaranya.
Selain itu, Rusia turut membatalkan program skuad bola sepak negara itu yang akan menjalani latihan musim sejuk di Turki pada bulan depan.
Seorang ahli poltik Rusia, Igor Lebedev mengumumkan Jawatankuasa Eksekutif bola sepak negara itu membuat keputusan untuk tidak meneruskan latihan di Turki pada musim sejuk akibat masalah politik antara kedua-dua negara.
Selain itu, kumpulan kelab bola sepak Rusia turut memutuskan kerjasama dengan kelab dari Turki yang terjalin sebelum ini.

Serangan bertubi jet Russia, 30 maut di Syria

ISNIN, 30 NOVEMBER 2015 @ 10:05 AM


KEADAAN bangunan yang musnah akibat serangan udara yang dipercayai dilancarkan jet pejuang Russia di pekan Ariha.

 AMMAN: Serangan udara dipercayai dilancarkan jet pejuang Russia mengorbankan sekurang-kurangnya 30 penduduk di pekan Ariha di barat laut Syria. Dalam serangan berasingan berdekatan dengan sempadan Turki, jet pejuang dipercayai milik Russia turut membedil sebuah depoh trak menyebabkan 10 trak musnah manakala lima terbunuh. Reaksi Kementerian Pertahanan Russia mengenai serangan udara itu bagaimanapun tidak dapat diperoleh. Menurut puak pemberontak Syria yang bersempadan dengan Turki, serangan udara berterusan sepanjang hari itu dilancarkan sejak kejadian pesawat pejuang Russia ditembak jatuh di sempadan Turki, minggu lalu. Serangan udara di Ariha dalam Wilayah Idlib itu menyebabkan 12 maut dan memusnah sebuah pasar, demikian menurut anggota pasukan penyelamat, Mohamed Queissi.
Anggota Pertahanan Awam yang beroperasi di kawasan pemberontak berkata, mayat 31 orang sudah dikenal pasti dengan 12 lagi masih dalam proses pengecaman.

Pemimpin EU tawar RM14 bilion

Brussels: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dijangka bersetuju menawarkan wang 3 bilion euro (RM14 bilion) selain memudahkan keahlian Turki dalam kesatuan itu sebagai balasan atas kerjasama menangani krisis pendatang.
Anggota EU yang menghadiri persidangan bagi membincangkan isu itu dijangka menyetujui pakej bantuan itu kepada Turki untuk membantu menghentikan kemasukan pendatang ke Eropah dari konflik di Syria. Kira-kira 2.2 juta daripada mereka kini berada di Turki.
Dalam pada itu, Presiden Majlis EU Donald Tusk berkata dalam surat jemputannya kepada pemimpin terbabit, sidang kemuncak itu akan menandakan satu langkah penting dalam membangunkan hubungan dan menyumbangkan kepada cara menguruskan krisis pendatang.
Dengan perang di Syria, kira-kira 850,000 orang memasuki EU tahun ini dan lebih 3,500 terkorban atau hilang dalam apa yang dilihat sebagai krisis pelarian terburuk di Eropah sejak sejak Perang Dunia II.
Turki menjadi pintu masuk utama untuk pendatang dan pelarian sampai ke Eropah dan Brussels.
Sementara itu, Turki juga mahu peraturan visa untuk rakyatnya dibatalkan bagi membolehkan mereka memasuki negara EU lain dan mahu lebih penyertaan dalam sidang kemuncak. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:02 AM


TUSK
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96672#sthash.I3GTIMji.dpuf

18 terbunuh, 40 cedera

Beirut: Kira-kira 40 dipercayai terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas serangan udara yang disyaki dilakukan Russia menyasarkan kawasan sesak di wilayah Idlib semalam.
Serangan awal pagi itu berlaku di bandar Ariha, 15 kilometer di selatan bandar Idlib.
Saluran berita tempatan Ariha Youm melaporkan, bom berangkai digunakan dalam serbuan itu oleh jet pejuang Russia.
Laporan awal mengatakan hanya 18 terbunuh tetapi jumlah itu dipercayai meningkat pantas.
Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) Rami Abdulrahman, meletakkan angka yang lebih tinggi iaitu sekurang-kurangnya 60 terbunuh dan cedera.
Sementara itu, kementerian pertahanan Russia tidak dapat dihubungi untuk mengulas kejadian.
Tentera udara Russia menjalankan serangan udara sebagai menyokong Presiden Bashar al-Assad sejak 30 September lalu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:01 AM


SEORANG lelaki meratap kematian rakannya dalam kejadian itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96662#sthash.9FGSCzQ4.dpuf

Britain diseru tidak sertai serang Syria



SEBAHAGIAN penunjuk perasaan yang membantah rancangan Britain menyertai serangan udara terhadap IS di Syria berhimpun di hadapan Downing Street, London kelmarin.- REUTERS

LONDON – Sekitar 5,000 orang mengadakan bantahan di London kelmarin bagi menentang kemungkinan Britain menyertai serangan udara di Syria selepas ramai ahli politik mahu serangan terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) diperluaskan. Perdana Menteri Britain, David Cameron menyuarakan saranan pada Khamis lali supaya jet pejuang Britain yang kini menyerang sasaran IS di Iraq, turut serta dalam operasi mengebom IS di Syria bersama Perancis, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. Satu undian di Parlimen untuk operasi di Syria itu dijangka diadakan seawal minggu ini dan ramai daripada ahli politik yang menentang langkah itu sebelum ini dipercayai telah menukar fikiran mereka susulan serangan berdarah di Paris pada 13 November lalu. Britain bagaimanapun masih belum pulih daripada igauan ngeri akibat penyertaan negara itu dalam perang di Afghanistan dan Iraq. Penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Jangan bom Syria’, ' Gugurkan Cameron, bukan bom’, dan ‘Jangan tuang minyak ke dalam api’. “Tragedi teruk berlaku di Paris tetapi menjadi tugas kerajaan untuk bertindak balas ke atasnya secara berhemah, bukannya dengan menyatakan mereka akan mengebom Syria," kata aktivis pertubuhan Perikatan Menghentikan Peperangan, Lindsey German. Bercakap di Malta kelmarin, Cameron mengulangi pendiriannya melancarkan serangan udara di Syria adalah ‘tindakan yang betul buat Britain’. Kira-kira 5,000 orang turut mengadakan bantahan serupa di Madrid, Sepanyol. Penduduk negara itu bimbang mereka akan kembali menjadi sasaran militan selepas Al-Qaeda mengebom sebuah kereta api di Madrid pada 2004 yang menyebabkan 191 orang terbunuh. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3svBr5GSz 
Hakcipta terpelihara 

Lagi sekatan Rusia terhadap Turki


MOSCOW 29 Nov. – Tiada petanda menunjukkan kemelut Rusia-Turki akan reda apabila Presiden, Vladimir Putin semalam mengumumkan sekatan ekonomi terhadap Turki ekoran insiden sebuah pesawat pejuang milik Moscow ditembak jatuh negara itu pada Selasa lalu.
Vladimir Putin
Vladimir Putin
Berdasarkan dekri yang ditandatangani Putin itu, sekatan dilaksanakan bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat Syria selain menetapkan larangan terhadap penerbangan tertentu antara kedua-dua negara.
Selain itu, berdasarkan sekatan yang berkuatkuasa pada 1 Januari ini, syarikat Rusia dilarang mengambil rakyat Turki sebagai pekerja dan sekatan import dikenakan terhadap beberapa jenis produk Turki.
Putin turut mengarahkan kerajaan untuk menyiarkan senarai barangan dan per­khidmatan yang tidak dikenakan sekatan bagi memastikan langkah berkenaan memberi kesan kepada ekonomi Turki.
“Syarikat pelancongan Rusia dilarang memperkenalkan produk dari Turki kepada rak­yat negara ini, termasuk melancong ke negara berkenaan.
“Sebagai tambahan, pihak berkuasa Rusia berhak me­ningkatkan tahap pemeriksaan dan kawalan terhadap syarikat penerbangan Turki sebagai langkah ke­selamatan,” jelas dekri itu.
Langkah terbaharu itu merupakan gelombang kedua sekatan yang dilancarkan Rusia terhadap ekonomi Turki selepas Moscow menangguhkan beberapa projek kerjasama ekonomi, sekatan transaksi kewangan, dan perdagangan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dmitry Medvedev, kelmarin.
Malah rakyat Turki buat pertama kali perlu memohon visa untuk berkunjung ke Rusia selepas Menteri Luar, Sergei Lavrov mengumumkan langkah berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, mayat juruterbang Su-24 Rusia, Oleg Peshkov diserahkan kepada pihak berkuasa Rusia, hari ini.
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, satu acara pengebumian mengikut adat Kristian turut diadakan untuk mendiang sebagai menghormatinya.
Peshkov sempat melen­tingkan diri semasa jetnya ditembak pesawat Turki dalam kejadian pada 24 November lalu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lagi-sekatan-rusia-terhadap-turki-1.163762#sthash.hIyohsfV.dpuf

40 maut bedilan jet Rusia di Syria


Gambar dikeluarkan oleh kumpulan aktivis antikerajaan, Ariha Today memaparkan sebahagian mayat yang bergelimpangan susulan serangan udara Syria di sebuah pasar yang sibuk di wilayah Idlib, semalam. AGENSI
DAMSYIK 29 Nov. - Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera apabila Rusia melancarkan serangan udara di sebuah pasar yang sesak di wilayah Idlib, hari ini.
Menurut Pengarah Badan Pemantau Hak Kemanusiaan Syria, Rami Abdel Rahman seperti dipetik Al Jazeera, bedilan itu mengenai pasar di bandar Ariha yang dikuasai beberapa kumpulan penentang kerajaan termasuk Barisan al-Nusra yang anggota gabungan militan al-Qaeda.
Selain pasar tersebut, beberapa lokasi lain turut menjadi sasaran serangan.
Saluran berita tempatan, Ariha al-Youm melaporkan, jet tempur Rusia menggugurkan bom kluster dalam kejadian itu.
Rami bagaimanapun berkata, jumlah kematian mungkin mencecah 60 orang.
Pegawai Kementerian Pertahanan Rusia masih gagal dihubungi untuk ulasan lanjut.
Kumpulan penentang Syria menguasai Ariha pada Mei lalu selepas pertempuran sengit dengan tentera Syria.
Tentera Udara Rusia melancarkan serangan udara sebagai sokongan kepada pentadbiran Presiden, Bashar al-Assad sejak 30 September lalu, namun Moscow menyatakan bedilan dilakukan bagi memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/40-maut-bedilan-jet-rusia-di-syria-1.163804#sthash.b2zrxqTp.dpuf