Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria, Rami Abdel Rahman berkata, sebanyak 10 pesawat tentera Syria menggempur sasaran di bandar berkenaan sekurang-kurangnya sebanyak 10 kali yang menjadi kubu kuat kumpulan militan Negara Islam (IS).
Jelasnya, serangan udara tersebut tertumpu di sebuah pasar popular berdekatan muzium Raqqa dan kawasan industri, di mana dua letupan kuat tercetus menyebabkan ramai mangsa terbunuh di situ.
“Kebanyakan serangan itu dilancarkan di kedudukan timur bandar tersebut dan 36 orang awam disahkan terbunuh, tetapi selebihnya tidak pasti sama ada mereka merupakan militan IS.
“Selepas serangan pertama, penduduk mula keluar untuk membantu mangsa yang cedera, tetapi serangan seterusnya menyebabkan lebih banyak kematian dan kecederaan,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan berkata, angka kematian dipercayai lebih tinggi termasuk melibatkan kanak-kanak.
Aktivis tempatan, Abu Ibrahim al-Raqqawi berkata, serangan itu merupakan kekejaman terburuk di Raqqa yang dilakukan oleh tentera kerajaan yang dipimpin Presiden, Bashar al-Assad.
Militan IS menguasai Raqqa pada Ogos lalu selepas mengusir tentera Syria dan merampas sebuah lapangan terbang serta membunuh berpuluh-puluh askar.
Sejak itu, tentera Syria memperhebatkan serangan udara di seluruh negara terutamanya di Raqqa bagi melemahkan penguasaan militan IS selepas tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) turut memerangi musuh yang sama. – REUTERS/AP