Wednesday 1 October 2014

Syria, AS di pihak sama


Damsyik: Menteri Luar Syria Walid al-Moallem berkata kempen serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) sepatutnya turut menyasarkan kumpulan militan selain Negara Islam (IS).

“IS, Barisan al-Nusra dan semua kumpulan pejuang yang menentang rejim Presiden Bashar al-Assad mempunyai ideologi ekstremis yang sama,” katanya, semalam.


Walid berkata, kerajaan Syria dan AS serta sekutunya sebenarnya berada pada pihak sama kerana hakikatnya mereka menentang musuh sama.

Beliau yang berucap di Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyelar tindakan AS yang menyerang hanya segelintir kumpulan yang dianggap militan tetapi pada masa sama memberi latihan, wang serta senjata kepada yang lain yang didakwanya “mengundang lebih banyak kekerasan serta keganasan.” Menurutnya, perbuatan AS itu hanya menyemarakkan lagi penyebaran fahaman ekstremis bukan saja di Syria malah juga di Iraq serta Lubnan.


Washington dan sekutu Arabnya melancarkan serangan udara terhadap IS di Syria minggu lalu dengan menyasarkan kemudahan ketenteraan, kem latihan serta tempat simpanan minyak dan senjata kumpulan berkenaan.


Ia rentetan serangan udara dilancarkan AS di Iraq sejak awal Ogos lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/01