Saturday 12 April 2014

86 terbunuh pertempuran di Syria


BEIRUT 11 April - Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh dalam satu pertempuran yang berlaku antara dua kumpulan pemberontak berdekatan di Syria yang bersempadan degan Iraq semalam.
Pertempuran itu berlaku pada waktu subuh selepas Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) menyerang hendap sebuah kubu pertahanan kumpulan Barisan al-Nusra dan sekutu mereka dalam usaha menawan semula bandar Albu Kamal yang terletak di timur wilayah Deir al-Zour.
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, ISIL disingkirkan dari bandar itu pada Februari lalu yang menghubungkan dua kubu kuatnya di barat Iraq dan timur laut Syria.
Menurut agensi berita dpa, laporan daripada media sosial mendedahkan, pejuang ISIL telah berundur ke sebuah zon industri di luar bandar itu selepas pertempuran tersebut berakhir.
Aktivis dari badan pemantau itu, Abu Mohammed yang berada di kawasan pertempuran tersebut melaporkan, pertempuran yang berlaku agak sengit sebelum Barisan al-Nusra dan beberapa kumpulan pemberontak lain berjaya mengawal semula sebahagian besar Albu Kamal.
Sementara itu, laman web Twitter yang menyiarkan perkembangan operasi ISIL di Deir al-Zour melaporkan, kumpulan tersebut telah menawan kembali kawasan pengeluaran minyak yang terletak sejauh 130 kilometer dari bandar terbabit.
Pertempuran itu juga mendorong pasukan tentera Iraq di kawasan sempadan memperkukuh kedudukan mereka bagi mengekang pencerobohan ke negara tersebut.
ISIL dan Barisan al-Nusra sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa siri pertempuran yang sering mengakibatkan jumah kematian yang tinggi. - AFP/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140412/lu_03/86-terbunuh-pertempuran-di-Syria#ixzz2ycEM9fRV
© Utusan Melayu (M) Bhd