Konflik Syria ragut lebih 100,000 nyawa
Masjid Khalid al-Walid di kawasan kejiranan al-Khalidiyah musnah akibat pertempuran terbaru di Homs
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin memberitahu lebih 100,000 orang terkorban dalam perang saudara tercetus di Syria sejak lebih dua tahun lalu.

Susulan daripada konflik yang semakin meruncing di negara bergolak itu, Ban Ki-moon menggesa satu persidangan aman diadakan untuk menamatkan krisis yang telah berlarutan selama 28 bulan.

"Lebih sejuta penduduk Syria hilang tempat tinggal dan terpaksa menjadi pelarian di negara jiran. Persidangan aman perlu diadakan segera di Geneva bagi menyelesaikan sengketa di negara itu," jelasnya dipetik laporan AFP

Dalam satu kenyataan lain, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry turut memaklumkan pergolakan di Syria tidak boleh dihentikan dengan menggunakan penyelesaian tentera.