Saturday 26 December 2015

Pemimpin pemberontak Syria maut dalam serangan Russia

SABTU, 26 DISEMBER 2015 @ 10:58 AM

BEIRUT: Seorang pemimpin pemberontak terkenal Syria dan ketua kumpulan pemberontakan berkuasa di pinggir timur Damsyik terkorban dalam serangan udara menyasarkan ibu pejabat kumpulan itu, kata sumber pemberontak dan tentera Syria semalam. Kematian Zahran Alloush, 44, ketua Jaysh al Islam, adalah tamparan hebat kepada kawalan pemberontak di kawasan pinggir timur Damsyik dikenali sebagai Ghouta. Pakar pertahanan berkata, pertelingkahan antara pasukan pemberontak mungkin mengukuhkan kawalan Presiden Syria Bashar al-Assad di seluruh kawasan terbabit. Beberapa pemimpin pemberontak terbunuh sejak Russia memulakan kempen serangan udara pada 30 September lalu sebagai menyokong sekutunya Assad, walaupun Moscow menegaskan ia menumpukan serangan ke atas IS. Sumber pemberontak berkata, dalam serangan udara itu, jet pejuang Russia melepaskan sekurang-kurangnya 10 peluru berpandu ke atas ibu pejabat rahsia kumpulan terbabit, yang juga serpihan pemberontak terbesar di kawasan itu dengan memiliki antara 15,000 hingga 20,000 pejuang, kata perisikan Barat. - Reuters


 PEMIMPIN pemberontak terkenal Syria dan ketua kumpulan pemberontakan berkuasa di pinggir timur Damsyik, Zahran Alloush.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/108394

Syria setuju ke rundingan damai



WALID


BEIRUT – Kerajaan Syria kelmarin memaklumkan sudah bersedia untuk menyertai rundingan damai baharu di Geneva bagi menamatkan pe­perangan saudara, tetapi menetapkan beberapa syarat.
Menteri Luar Syria, Walid Muallem berkata, Damsyik sudah bersedia untuk turut serta dalam dialog Syria-Syria itu di Geneva tanpa sebarang campur tangan pihak luar.
Minggu lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan satu resolusi menyokong cadangan pelan keamanan untuk membawa kerajaan dan pembangkang ke meja rundingan.
Pelan keamanan itu hasil usaha keras selama hampir dua bulan dalam kala­ngan diplomat 17 buah negara termasuk penyokong kerajaan Syria, Rusia dan Iran tetapi tidak memberi perhatian kepada perbezaan pa­ling besar antara kumpulan pembangkang dan kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
Walid menegaskan kerajaannya masih menunggu senarai ‘pertubuhan pengganas’ yang tidak akan dibenarkan me­nyertai rundingan tersebut. Kerajaan Syria secara sistematik menggelar semua penentangnya sebagai pengganas.
“Syria menolak ‘campur tangan asing’ dan kumpulan rundingan kerajaan akan bersedia sebaik sahaja kami menerima satu senarai delegasi pembangkang,” kata Walid.
PBB menugaskan Jordan untuk membuat senarai delegasi rundingan yang telah dihantar semalam dengan mema­sukkan nama kumpulan Islamic State dan Barisan Al-Nusra yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
Resolusi PBB itu menyeru rundingan damai pada awal Januari ini yang akan membawa kepada pembentukan satu badan pentadbiran peralihan inklusif de­ngan kuasa eksekutif penuh dalam tempoh enam bulan akan datang. – AFP