Keadaan itu juga menyebabkan harga barangan keperluan harian meningkat mendadak.
Minggu lalu kumpulan militan IS menawan jalan Khanasser di utara Aleppo, yang merupakan satu-satunya laluan untuk keluar dari Aleppo, sekaligus menyebabkan usaha-usaha membawa bekalan makanan ke bandar itu untuk kegunaan penduduk terhalang.
“Dalam masa lima hari harga barangan asas seperti tomato dan minyak petrol meningkat tujuh kali ganda. Ini satu perkara yang tidak masuk akal,” kata seorang penduduk, Salaheddin, 45.
Sebelum ini, lebuh raya menghubungkan Aleppo dengan Damsyik telah ditawan kumpulan penentang kerajaan, sebelum tentera kerajaan pada tahun lalu membuka jalan yang menghubungkan bandar Safireh dan Khanasser dengan bandar yang dikawal kerajaan iaitu Hama dan Homs.
Dalam perkembangan lain, serangan udara yang meningkat dengan mendadak ke atas hospital-hospital di Syria sejak kebelakangan ini, telah menyebabkan sekurang-kurangnya 35 orang pesakit dan kakitangan hospital terkorban, manakala 75 lagi cedera.
Doctors Without Borders (MSF) dalam satu kenyataan berkata, serangan udara tersebut mula dilancarkan pada akhir September lalu dan menjadikan 12 hospital di wilayah Idlib, Aleppo dan Hama sebagai sasaran.
“Secara keseluruhannya serangan (udara tersebut) telah menyebabkan enam hospital terpaksa ditutup dan empat buah ambulans musnah.
“Sehingga kini hanya sebuah hospital beroperasi, namun hospital berkenaan masih gagal memberi perkhidmatan kecemasan kepada ibu mengandung, kanak-kanak dan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas,” jelas MSF.
 – AFP