Dalam serangan udara tentera Syria di Hospital Al Quds di daerah Sukkari, semalam, sebanyak 30 maut termasuk orang awam, kakitangan hospital dan satu-satunya pakar pediatrik di Aleppo, Dr. Wasem Maaz.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, 14 daripada jumlah itu adalah pesakit.
Menurut badan itu, Hospital Al Quds dibedil sebanyak empat kali dan jumlah kematian dijangka me­ningkat susulan banyak mangsa masih terpe­rangkap di bawah runtuhan.
Di lokasi berasingan, serangan udara di dua kawasan penempatan dikuasai kumpulan penentang di al-Kalasa, Aleppo hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang.
Video dikeluarkan aktivis me­maparkan situasi panik di lokasi kejadian termasuk seorang lelaki mengangkat anak perempuannya sejurus dikeluarkan daripada runtuhan bangunan.
Satu lagi serangan di bandar sama pula menyaksikan 1,300 bedilan roket dan peluru berpandu di kawasan dikuasai tentera Syria, mengakibatkan 14 kematian.
Susulan serangan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pemimpin Amerika Syarikat (AS) serta Rusia membincangkan isu gencatan senjata dan rundingan damai bagi menamatkan konflik berdarah di negara ini.
Utusan Khas PBB ke Syria, Staffan de Mistura berkata, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perkara tersebut, selepas melihat kegagalan gencatan senjata di Aleppo dan tiga lagi kawasan lain. – AFP