Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) dalam satu kenyataan bersama berkata, bantuan berkenaan tiba di bandar-bandar terbabit, semalam.
Kata mereka, bantuan bahan api berjaya disalurkan ke Madaya, bandar berada di bawah penguasaan kerajaan, namun tidak berjaya dihantar ke bandar Fuaa dan Kafraya, kawasan yang dikuasai oleh kumpulan penentang kerajaan atas faktor keselamatan.
Sementara itu, bantuan makanan dan ubat-ubatan berjaya disalurkan ke bandar milik kumpulan penentang kerajaan, Zabadani.
“Kami terpaksa membatalkan misi bantuan ke Fuaa dan Kafraya selepas mendapat laporan daripada kumpulan bersenjata mereka perlukan masa yang lebih panjang untuk memuktamadkan urusan keselamatan di kawasan di bawah kawalan mereka,” jelas kenyataan tersebut.
Keempat-empat bandar ber­kenaan termasuk dalam perjanjian yang dicapai tahun lalu untuk menamatkan peperangan antara kerajaan dengan kumpulan penentang kerajaan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk.
Namun, akibat daripada akses laluan ke bandar-bandar terbabit yang banyak mengalami kemusnahan, penduduk khususnya di Madaya mengalami kebuluran.
Selain, banyak penduduk yang menetap di Fuaa dan Kafraya meninggal dunia akibat daripada kekurangan ubat-ubatan. – AFP