Monday, 20 May 2013

30 maut kepungan tentera Syria



SEORANG anggota Tentera Pembebasan Syria bertempur di bandar Deir Al-Zor dekat sempadan Iraq kelmarin.- REUTERS


DAMSYIK - Tentera Syria yang disokong kereta kebal dan jet pejuang melancarkan serangan ke atas bandar strategik yang kuasai penentang dekat sempadan Lebanon semalam, kata beberapa aktivis Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Mereka berkata, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam beberapa serangan meriam dan udara ke atas bandar tersebut, Qusair, dengan ramai penduduk terpaksa berlindung di beberapa bilik bawah tanah.
Bandar Qusair telah dikepung selama beberapa minggu oleh tentera Presiden Bashar Al-Assad yang dibantu militan kumpulan Hizbollah dari Lebanon.
Kepungan itu merupakan usaha tentera Bashar untuk menawan kembali perkampungan dan bandar di sepanjang sempadan Lebanon yang jatuh ke tangan pihak penentang yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Aktivis-aktivis kumpulan pemerhati tersebut memberitahu, lebih 30 orang termasuk 16 pejuang penentang dan seorang wanita terbunuh dalam pertempuran di Qusair pada pagi semalam.
Namun, angka kematian dijangka terus meningkat ekoran percubaan tentera Bashar untuk memasuki bandar itu.
Seorang pegawai pemerintah di ibu negeri wilayah Homs menyatakan, tentera Syria telah mengepung Qusair dan akan membebaskan bandar itu daripada penguasaan penentang.
Menurutnya, tentera Syria membuka satu laluan untuk orang awam melepaskan diri dan pengganas yang mahu menyerah diri.
Tentera Syria melabel anggota FSA sebagai pengganas.
Dalam satu kejadian berasingan, dua serangan bom berani mati berlaku di bandar Deir Balbaa, pinggir Homs dengan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala 15 lagi cedera.
Empat orang turut maut dalam dua serangan bom berhampiran sebuah kilang di sebuah lebuh raya di Homs dengan 13 yang lain cedera.
Serangan ke atas bandar Qusair berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) dan Rusia berusaha memaksa Bashar dan FSA berunding untuk menamatkan perang saudara di Syria.
Beberapa percubaan menamatkan konflik tersebut secara aman telah gagal.
Pelan bersama AS dan Rusia itu menggesa sebuah kerajaan peralihan ditubuhkan dan gencatan senjata tanpa tarikh tamat diwujudkan.
Lebih 70,000 orang terbunuh manakala beberapa juta lagi menjadi pelarian sejak kebangkitan menentang pemerintahan Bashar bermula pada Mac 2011.
Pertempuran tersebut turut merebak ke beberapa negara jiran termasuk Turki, Iraq, Lebanon dan Israel. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2TmJzenuC 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment