Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), semalam me­rayu pihak berkuasa Jordan membenarkan mereka memasuki negara itu berikutan keadaan yang semakin buruk di sana.
Badan dunia itu berkata, seba­nyak 11,000 pelarian kini terkandas di Rukban, kira-kira lapan kilometer dari titik pertemuan sempadan Sy­ria, Iraq dan Jordan, manakala 1,000 pelarian lagi terkandas di Hadalat.
“Kawasan-kawasan berkenaan ada­lah gurun, tidak mempunyai tempat berteduh, air atau tumbuh-tumbuhan.
“UNHCR merayu kerajaan Jordan memberikan keutamaan kepada golongan paling lemah termasuk warga emas, bayi di bawah umur enam bulan dan wanita mengan­dung untuk memasuki negara itu,’’ kata PBB dalam satu kenyataan.
UNHCR berkata, keadaan kesihatan pelarian terbabit semakin teruk dengan peningkatan tanda-tanda penyakit termasuk cirit-birit, muntah, dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak.
“JIka pelarian tidak dibenarkan memasuki Jordan, bantuan asas perlu disediakan ekoran ketibaan musim sejuk,’’ jelas UNHCR.
Sementara itu di Greece, sekurang-kurangnya 11 pelarian dan pendatang asing termasuk lima kanak-kanak maut, manakala 10 orang lagi hilang apabila bot yang mereka naiki tenggelam di Pulau Farmakonisi di Greece, malam tadi.
Polis maritim Greece berkata, sebanyak 26 orang berjaya diselamatkan dan operasi mencari kini dilakukan di tenggara Laut Aegean untuk mencari mangsa yang terselamat.
“Helikopter tentera Greece dan sebuah kapal agensi kawalan sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex turut dikerahkan membantu pencarian,’’ kata polis.
Semalam, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak terbunuh apabila bot yang membawa pendatang asing dari Afghanistan karam di perairan Turki dalam pelayaran ke Greece.
Agensi berita Anatolia melapor­kan, pengawal pantai Turki me­nemukan mayat-mayat kanak-kanak dan seorang bayi ketika operasi masih dijalankan bagi mencari dua lagi pendatang asing yang masih hilang.
“Bot yang dinaiki mereka karam selepas angin kencang dan ombak kuat berdekatan bandar Cesme, wilayah Izmir,’’ jelas Anatolia. – AFP