Monday 25 November 2013

11,000 kanak-kanak maut perang di Syria


Sebahagian besar mangsa serangan gas saraf di Ghouta di pinggir Damsyik pada Ogos lalu merupakan golongan kanak-kanak. - Agensi
BEIRUT 24 Nov. - Lebih 11,000 kanak-kanak terkorban dalam perang saudara di negara ini yang berlanjutan hampir tiga tahun, menurut kumpulan pemikir Penyelidikan Oxford yang beribu pejabat di London, baru-baru ini.
Majoriti kanak-kanak tersebut terbunuh dalam serangan bom atau peluru di kawasan perumahan mereka selain beratus-ratus serangan hendap.
Menurut laporan tersebut, bedilan serta serangan udara yang berlaku turut mengorbankan bayi.
Data terkumpul mendapati, seramai 11,420 mangsa yang terkorban berumur 17 tahun ke bawah, manakala 389 kanak-kanak dibunuh oleh penyerang hendap.
Daripada laporan itu, seramai 764 kanak-kanak turut dihukum bunuh, manakala lebih 100 yang lain termasuk bayi, diseksa.
Laporan itu juga mendapati, lebih ramai kanak-kanak lelaki dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun maut, berbanding kanak-kanak perempuan.
Dalam laporan tersebut, wilayah Aleppo mencatat bilangan kematian paling tinggi melibatkan kanak-kanak iaitu sebanyak 2,223 orang.
Penulis bersama laporan itu, Hana Salama berkata, cara kanak-kanak di Syria meninggal dunia amat menakutkan.
"Mereka mati akibat dibom di rumah, semasa beratur menunggu giliran untuk mengambil roti dan semasa berada di sekolah.
"Selain itu, ada di antara kanak-kanak maut akibat diserang penembak tepat, dihukum mati, diseksa dan dipaksa menghidu gas beracun," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131125/lu_06/11000-kanak-kanak-maut-perang-di-Syria#ixzz2ldzZtVfT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment