LONDON - BRITAIN. Seorang pekerja bantuan warga Britain menjadi korban terbaharu kumpulan ekstremis selepas rakaman perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dikeluarkan, kelmarin.

Menerusi video 'Mesej kepada sekutu Amerika Syarikat', David Haines, 44, menyatakan dia menerima 'hukuman' tersebut akibat keputusan Perdana Menteri, David Cameron menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Iraq untuk memerangi kumpulan ekstremis di rantau tersebut.

Pada akhir video berdurasi dua minit 27 saat itu, seorang lelaki bertopeng turut mengancam membunuh seorang lagi warga Britain, Alan Henning jika Cameron terus menyokong kempen untuk menghapuskan kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).

Susulan daripada itu, Perdana Menteri Britain berikrar untuk memburu dalang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu dan membawanya ke muka pengadilan.

Sebelum ini, dua wartawan AS, James Wright Foley dan Steven Sotloff turut menerima nasib sama dibunuh tanpa belas kasihan selepas Presiden Barack Obama melancarkan serangan udara di Iraq, dipetik dari laporan AFP.