Wednesday 8 April 2015

Desak bantuan untuk Yarmouk

Damsyik: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak supaya mengadakan laluan kemanusiaan ke kem pelarian Palestin di Yarmouk, Syria selepas penduduk melarikan diri berikutan serangan kumpulan Negara Islam (IS).
Kemaraan kumpulan ekstremis itu di kem yang terletak di selatan Damsyik itu mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa dan pegawai Palestin.
Majlis berkenaan menyuarakan rasa bimbang mengenai keadaan itu semalam, kata duta Jordan Dina Kawar yang mempengerusikan majlis itu bulan ini.
Ia menggesa penduduk awam di kem itu diberi perlindungan dan memastikan ada akses kemanusiaan, termasuk bantuan menyelamat nyawa.
Gesaan itu dibuat selepas majlis berkenaan mengadakan mesyuarat tertutup mengenai krisis itu dan mendengar taklimat mengenai nasib 18,000 pelarian Palestin di kem itu.
Ketua PBB mengenai Pelarian Palestin (UNRWA) Pierre Krahenbuhl menyifatkan keadaan di kem itu sebagai amat terdesak.
Dia menggesa negara yang ada pengaruh di Syria supaya bertindak untuk memastikan penduduk awam tidak dibunuh.
“Apa yang penduduk awam di Yarmouk perlukan sekarang ialah untuk hidup,” katanya.
IS mula menyerang Yarmouk Rabu lalu. Serangan mereka mulanya dipatahkan oleh pejuang Palestin tetapi sejak beberapa hari lalu IS menawan sebahagian besar daerah itu.
Hampir 40 orang terbunuh dalam pertempuran itu, menurut kumpulan pemerhati hak asasi Syria.
Kumpulan yang berpejabat di Britain itu berkata, IS kini menguasai selatan, barat dan timur kem itu.
Tentera kerajaan Syria dilapor mengebom kedudukan IS di kem itu.
Serangan IS itu ialah tamparan terbaru kepada Yarmouk yang sebelum ini ialah daerah kelas pekerja dan menjadi tempat tinggal kira-kira 160,000 warga Syria dan Palestin.
Kem itu, yang terbesar seumpamanya di Syria, pernah menjadi sasaran beberapa serangan dan dikepung oleh tentera yang setia kepada Bashar al-Assad sejak 18 bulan lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:10 AM


SEBANYAK 18,000 pelarian Palestin terperangkap di kem pelarian Yarmouk di Syria.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42229#sthash.JGn3PptA.dpuf

No comments:

Post a Comment