Wednesday 8 April 2015

PBB bantu pelarian Yarmuk


SEORANG lelaki melalui sebuah bangunan yang telah musnah di kem pelarian Yarmuk kelmarin.



NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberitahu, pihaknya akan melihat bagaimana boleh membantu sebahagian 18,000 pelarian Palestin dan rakyat Syria di Kem Yarmuk yang kini dikuasai oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).
Salah seorang pegawai tertinggi PBB mencadangkan langkah memindahkan pelarian di kem tersebut perlu dilaksanakan secepat mungkin.
Ketua Agensi Bantuan dan Pemulihan PBB (UNRWA), Pierre Krahenbuhl telah memberi taklimat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan 15 ahli majlis PBB mengenai situasi di Kem Yarmuk di pinggir Damsyik yang terletak kira-kira lima kilometer dari istana Presiden Syria, Bashar al-Assad.
“Apa yang paling dibimbangi pelarian di Yarmuk sekarang ialah kehidupan yang terdedah kepada ancaman. Ia sangat mudah kerana berkait dengan isu keselamatan,” kata Krahenbuhl kepada pemberita melalui pautan video dari Jordan.
IS telah menguasai hampir keseluruhan Yarmuk, manakala tentera Syria pula mengelilingi daerah itu, menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Krahenbuhl berkata, negara yang mempunyai pengaruh ke atas pihak yang bertelagah perlu memberi perlindungan kepada orang awam dan menggesa PBB mencari satu langkah bagi memudahkan pemindahan pelarian secara teratur dan selamat.
Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan meneliti langkah seterusnya yang boleh diambil dalam usaha memberi bantuan dan perlindungan yang diperlukan.
Yarmouk kini telah menjadi medan pertempuran termasuklah serangan di darat dan udara antara IS, tentera Syria dan pejuang Palestin.
PBB memberitahu, seramai 94 orang awam telah dibawa keluar dari Yarmuk, namun kira-kira 3,500 kanak-kanak lagi masih terperangkap di situ.
Dalam pada itu, ketua delegasi Palestin di PBB, Riyad Mansour merayu bantuan antarabangsa dalam apa jua bentuk untuk menjamin keselamatan di laluan pemindahan pelarian Yarmuk.
Yarmuk kini menjadi rumah kepada lebih setengah juta rakyat Palestin sebelum konflik di Syria bermula pada 2011. Perang saudara di Syria pula telah membunuh lebih 220,000 orang dan menyebabkan jutaan rakyatnya kehilangan tempat tinggal. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3WfeqWzAB 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment