Sunday 5 July 2015

Solat berdarah


Beirut: Satu letupan di sebuah masjid di utara Syria membunuh 25 anggota kumpulan sekutu al-Qaeda semalam, termasuk seorang pemimpin mereka.

Kejadian berlaku ketika mereka menunaikan solat Maghrib selepas berbuka puasa.

Pengarah kumpulan pemerhati untuk hak asasi manusia Syria Rami Abdel Rahman berkata, jumlah kematian mungkin meningkat berikutan puluhan orang awam cedera dalam kejadian di bandar Ariha itu.

“Dua puluh lima anggota Barisan Al-Nusra, termasuk seorang pemimpin mereka mati dalam letupan di masjid di Ariha di wilayah Idlib, semalam,” kata Rami yang berpejabat di London.

Setakat ini tidak dapat dipastikan punca letupan.

Kumpulan aktivis Suruhanjaya Am Revolusi Syria berkata, ratusan orang awam berkumpul untuk majlis berbuka puasa bersama Barisan Al Nusra di Masjid Salem di barat Ariha apabila letupan itu berlaku ketika solat Maghrib.

Sebahagian besar wilayah Idlib dikuasai penentang selepas kumpulan itu mengusir tentera kerajaan dari kubu kuat terakhir mereka.

Lebih 230,000 orang terbunuh di Syria sejak tunjuk perasaan aman antikerajaan pada 2011 merebak menjadi perang saudara.

Dalam perkembangan lain, tentera Syria dan sukutu militianya melancarkan serangan besar-besaran terhadap Zabadani, sebuah lagi bandar yang dikuasai penentang.

Stesen televisyen Hizbullah, kumpulan Syiah Lubnan yang bersekutu dengan tentera rejim Bashar al-Assad melaporkan, serangan membabitkan pesawat dan meriam bertujuan menawan semula bandar di barat laut Damsyik itu.

Pengumuman mengenai serangan besar-
besaran oleh tentera Syria dan kumpulan Lubnan itu sudah dijangka selepas tentera Syria meningkatkan serangan udara terhadap kedudukan penentang di kawasan yang bersempadan dengan Lubnan itu sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, laporan dari Zabadani menyatakan, penentang sudah bersiap sedia menghadapi pertempuran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:14 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62177#sthash.8Wzmf7uu.dpuf

No comments:

Post a Comment