Menurut kenyataan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), keganasan yang semakin meningkat itu memaksa penduduk meninggalkan bandar berkenaan dan menuju ke pekan Azaz serta dua buah kem pelarian iaitu Bab al-Salam dan Sijjou yang terletak di kawasan sempadan.
“Pekan Azaz menampung lebih 75,000 orang pelarian sejak Januari lalu dan kehadiran kumpulan baharu itu nanti akan mencetuskan situasi kemanusiaan yang lebih buruk,” jelas kenyataan itu seperti dilaporkan portal Al Jazeera.
Agensi kemanusiaan dikerah untuk mengagih-agihkan bantuan termasuk selimut dan makanan kepada beribu-ribu pelarian selain bersedia untuk menghadapi gelombang pelarian yang lebih ramai.
Pertubuhan perubatan, Doctors Without Borders (MSF) berkata, ketika ini lebih 100,000 orang terperangkap di beberapa kawasan di Syria yang bersempadan dengan Turki manakala kira-kira 35,000 orang penduduk melarikan diri dari kem berkenaan sejak minggu lalu disebabkan ancaman militan Negara Islam (IS).
Tindakan Turki menutup sempadan juga memburukkan lagi keadaan walaupun penduduk yang sakit atau cedera dibenarkan memasuki negara tersebut.
Sementara itu, Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata, misi kemanusiaan untuk memindahkan beratus-ratus penduduk yang cedera dan terperangkap di beberapa bandar di Syria telah dijalankan sejak semalam, walaupun rundingan damai terencat ekoran kerapuhan perjanjian gencatan senjata.
“Proses pemindahan itu melibatkan bandar-bandar di Madaya, Zabadani, Fuaa dan Kafraya dengan membabitkan kira-kira 500 orang penduduk yang sakit dan cedera,” katanya. – AFP