Dalam serangan yang disifatkan paling buruk sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Februari lalu, sebuah jet dipercayai milik tentera kerajaan membedil sebuah pasar di bandar Maaret al-Numan mengorbankan lebih 40 orang.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, satu lagi serangan mengenai sebuah pasar ikan berhampiran bandar Kafranbel, mengorbankan lebih 10 orang.
Kedua-dua serangan itu berlaku di wilayah Idlib, yang dikuasai sekutu kumpulan militan al-Qaeda di Syria iaitu Barisan al-Nusra.
Seperti kumpulan militan Negara Islam (IS), Barisan al-Nusra tidak terlibat dalam perjanjian gencatan senjata dan tentera kerajaan berterusan menggempur kawasan yang dikuasai kumpulan militan itu.
Kumpulan penentang utama di Syria, Jawatankuasa Tertinggi Rundingan (HNC) mengecam serangan di Maaret al-Numan dan menyifatkan pengeboman itu sebagai pembunuhan beramai-ramai dan pencabulan jelas ke atas gencatan senjata.
“Serangan itu merupakan peningkatan keadaan berbahaya dan penghinaan terhadap masyarakat antarabangsa ketika gencatan senjata,” kata jurucakap HNC, Salem al-Meslet.
Serangan itu merupakan tindakan balas Presiden Syria Bashar al-Assad terhadap keputusan HNC menarik diri dalam rundingan damai.
“Keputusan kami menangguhkan penglibatan kami dalam rundingan di Geneva bagi menunjukkan kerajaan tidak ikhlas apabila melakukan keganasan ketika rundingan sedang dijalankan, dunia perlu menolak cara ini,” jelas Meslet. – AFP