Tuesday 30 April 2013

Cubaan bunuh PM Syria gagal



Orang ramai berkumpul di lokasi letupan di daerah Mazzeh dekat Damsyik semalam dipercayai satu cubaan untuk membunuh Perdana Menteri Syria, Wael al-Halqi. - AFP
DAMSYIK 29 April - Perdana Menteri Syria, Wael al-Halqi terselamat dalam satu cubaan membunuh beliau, selepas konvoi yang dinaikinya menjadi sasaran serangan bom kereta di sini, hari ini.
"Letupan pengganas di Mazzeh adalah satu cubaan yang disasarkan ke atas konvoi Perdana Menteri, tetapi beliau tidak mengalami sebarang kecederaan," lapor televisyen milik kerajaan.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia melaporkan, letupan kereta itu menjadikan konvoi Wael al-Halqi sebagai sasaran ketika konvoi itu sedang melalui daerah Mazzeh di selatan Damsyik, menyebabkan seorang pengawal peribadi beliau terkorban.
Pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman berkata, pemandu Wael al-Halqi dan seorang lagi pengawal peribadinya turut cedera parah dalam letupan itu.
Seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian berkata, beberapa kereta turut musnah dalam letupan itu, termasuk sebuah bas terbakar, manakala cermin kereta yang diletakkan berhampiran pula pecah.
Mazzeh adalah daerah yang menjadi kediaman beberapa tokoh kanan dalam kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Wael al-Halqi dilantik menjadi Perdana Menteri pada Ogos lalu selepas penyandangnya, Riad Hijab belot dan menyokong pemberontak. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130430/lu_04/Cubaan-bunuh-PM-Syria-gagal#ixzz2RtmD1uLL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment