Friday 24 May 2013

Barat ancam sokong pemberontak Syria


Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh (kiri), Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry (tengah) dan Setiausaha Luar Britain, William Hague (kanan) menghadiri mesyuarat Sahabat Syria di Amman, kelmarin. - AFP
AMMAN 23 Mei - Kuasa-kuasa dunia, hari ini memberi amaran akan menyokong kumpulan pemberontak jika Presiden, Bashar al-Assad gagal melaksanakan peralihan politik untuk membawa keamanan di Syria.
Amaran tersebut dikeluarkan semasa satu pertemuan negara-negara Sahabat Syria di sini semalam, dalam usaha mencapai kata sepakat bagi menghentikan konflik di negara itu.
Selepas pertemuan pada lewat malam tadi, 11 menteri dari negara-negara Barat dan Arab termasuk Amerika Syarikat (AS) serta Jordan menyatakan bahawa Bashar bersama rakan-rakan sekutunya tidak mempunyai peranan dalam masa depan Syria.
"Jika Bashar enggan berunding, kami akan memberikan sokongan kepada pemberontak,'' kata mereka dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan itu, menteri-menteri tersebut juga menegaskan bahawa sehingga pertemuan di Geneva menghasilkan pembentukan kerajaan peralihan, mereka akan meningkatkan sokongan kepada pemberontak dan mengambil semua langkah yang diperlukan.
Rusia dan AS menyatakan sokongan kepada pemberontak dalam konflik tersebut, namun berharap dapat membawa kedua-dua pihak yang bertelagah ke persidangan tersebut yang dijangka diadakan pada bulan depan.
Lokasi dan tarikh persidangan itu akan diadakan masih belum diketahui.
Menteri-menteri tersebut mengadakan pertemuan secara tertutup selama dua jam di sebuah hotel di Amman dan kemudian bertemu Presiden Perikatan Nasional Syria, George Sabra serta dua lagi ketua pemberontak selama tiga jam.
Kenyataan itu turut mengkritik campur tangan kuasa asing termasuk pergerakan Hezbollah dan Iran di Syria, yang menyokong tentera Bashar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_05/Barat-ancam-sokong-pemberontak-Syria#ixzz2UAF94MbH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment