Tuesday, 7 May 2013

Syria akan balas serangan Israel



DERETAN kereta kebal Israel berada di Bukit Golan dekat sempada Syria semalam.


DAMSYIK - Syria akan membalas serangan Israel ke atas wilayahnya tetapi akan "memilih masa yang sesuai" dan mungkin bukan dalam waktu terdekat, kata seorang ahli politik negara itu semalam.
"Syria akan membalas keganasan Israel dan akan memilih waktu untuk bertindak," kata pegawai tersebut melalui telefon di sini.
"Serangan balas mungkin tidak akan dibuat pada waktu terdekat kerana Israel kini berada dalam keadaan berjaga-jaga," tambahnya.
Damsyik menuduh Israel melancarkan serangan udara terhadap tiga lokasi tentera dekat sini kelmarin, 48 jam selepas satu serangan Israel dilaporkan di negara itu.
Seorang pegawai kanan rejim Zionis berkata, serangan bertujuan memusnahkan bekalan senjata Iran yang disalurkan kepada kumpulan Hizbollah.
Iran dan Hizbollah merupakan sekutu kuat Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Terdahulu, Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, sekurang-kurangnya 15 askar Syria terbunuh dalam serangan udara tersebut.
"Berpuluh-puluh lagi askar Syria hilang selepas serangan udara dekat sini," kata pegawai badan pemerhati tersebut, Rami Abdel Rahman.
"Tiga lokasi yang diserang menempatkan sekitar 150 anggota tentera tetapi masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada semua askar tersebut berada di lokasi kejadian semasa serangan berlaku," tambahnya.
Serangan sebelum subuh itu merupakan yang kedua ke atas Syria oleh rejim Zionis dalam tempoh 48 jam.
Dalam pada itu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon memberi amaran berhubung konflik di Syria yang kian meruncing.
"Setiausaha Agung PBB meminta semua pihak bertenang dan bertindak secara bertanggungjawab bagi mengelakkan konflik berbahaya daripada menjadi bertambah buruk," kata jurucakapnya, Martin Nesirky.
Lebih 70,000 orang terbunuh di Syria sejak rakyat negara itu bangkit menentang pemerintahan Bashar pada Mac 2011 kerana menuntut pembaharuan demokrasi dan kebebasan bersuara. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2SYKJ0RSP 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment