Sunday 7 July 2013

Askar mara di Homs


Beirut: Tentera rejim Bashar al-Assad semalam dilapor sudah memasuki beberapa bahagian bandar raya Homs yang dikuasai kumpulan penentang.

Aktvis yang berpangkalan di bandar raya berkenaan, Tarik Badrakhan berkata , tentera Syria berjaya menawan beberapa bangunan di daerah Khaldiyeh.


Ini kali pertama tentera Bashar memasuki Homs selepas dikuasai penentang sejak lebih setahun lalu.

Tentera Syria melancarkan serangan besar-besaran ke atas bandar raya itu sejak tujuh hari lalu. Media yang dikuasai rejim Bashar melaporkan tentera negara itu menembak mati beberapa penentang ketika memasuki Khaldiyeh.


Menurut Tarik, tentera Syria memasuki bandar raya berkenaan sejak malam kelmarin dan sehingga lewat semalam, masih lagi mengebom beberapa kawasan dengan mortar dan misil.


Serangan besar-besaran terhadap Homs sebahagian usaha Bashar menawan wilayah dikuasai penentangnya.

Homs ialah bandar raya strategik terletak antara Damsyik dan kawasan pantai Syria yang menjadi kubu kuat rejim Bashar.


Dalam perkembangan lain, pesawat tentera Syria juga melancarkan beberapa serangan ke atas kawasan pinggir Damsyik, khususnya di Assali, di selatan ibu negara Syria itu dan Qaboon, di timur.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Bagi Syria melaporkan, serangan udara tentera Bashar turut menyasarkan kawasan dikuasai penentang di timur Damsyik, antaranya kubu kuat kumpulan berkenaan di Zamalka.


Keganasan merebak lebih jauh di Damsyik sejak beberapa bulan lalu dengan beberapa daerah hampir musnah sama sekali akibat pengeboman dan pertempuran.


Perang saudara yang meletus di Syria sejak 27 bulan lalu meragut lebih 100,000 nyawa sementara puluhan ribu lagi hilang tempat tinggal. - Agensi

No comments:

Post a Comment