Monday 8 July 2013

Penjara Aleppo dibedil, 6 banduan mati


Beirut: Beberapa tahanan di penjara Aleppo terbunuh apabila pusat tahanan itu dibedil.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, setakat ini, enam banduan disahkan mati dalam serangan Jumaat lalu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pihak yang membedilnya.


Sebuah kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad yang ada hubungan dengan al-Qaeda dikatakan terbabit dalam pertempuran untuk menguasai penjara berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

Menurut kumpulan pemerhati itu, kira-kira 120 orang mati di penjara di Aleppo itu sejak April lalu, akibat pertempuran, sakit dan menjalani hukuman mati.


Agensi berita Syria (SANA) melaporkan, beberapa anggota kumpulan penentang mati dalam serangan itu tetapi tidak menyebut jumlahnya.


Aleppo, bandar terbesar Syria, terletak berhampiran sempadan dengan Turki. Sementara itu, pertempuran sengit di Homs di tengah Syria menyebabkan 60 hingga 70 peratus bandar itu rosak, musnah atau tidak boleh didiami.

Jurucakap kumpulan hak asasi itu, Rami Abdel Rahman berkata, daripada semua bandar di Syria, Homs mengalami tahap kemusnahan tertinggi. - AFP

No comments:

Post a Comment