Sunday 4 August 2013

Presiden Bashar al-Assad yakin tewaskan pemberontak

BEIRUT 1 Ogos - Presiden Syria, Bashar al-Assad hari ini melahirkan keyakinan bahawa pihaknya akan berjaya menentang kumpulan pemberontak dalam perang saudara yang tercetus sejak Mac 2011, menyaksikan lebih 100,000 orang terbunuh.
"Jika kami tidak yakin untuk menang di Syria, kami tidak akan meneruskan perjuangan selama lebih dua tahun menentang kumpulan pemberontak yang merosakkan negara," katanya seperti yang dipetik agensi berita SANA.
Assad turut menyifatkan pasukan tentera kerajaan sebagai berani menentang keganasan, selain menyimpulkan bahawa peperangan saudara yang berlaku di negara itu sebagai yang paling teruk dalam sejarah Syria.
Kumpulan pemberontak menguasai kebanyakan wilayah dan bandar utama di Syria, namun operasi besar-besaran yang dilakukan oleh pasukan tentera kerajaan sejak beberapa minggu lalu menyaksikan kawasan-kawasan tersebut berjaya ditawan kembali.
Dalam pada itu, Assad dilaporkan kini mempunyai beberapa akaun laman sosial termasuk Twitter, Facebook dan Instagram.
Pemimpin Syria itu sering memuat turun gambar bersama isteri dan penyokongnya, selain gambar beliau bekerja di pejabat.
Tindakan Assad yang dilihat menggunakan media sosial sebagai kempennya untuk mengukuhkan kuasa, mendapat kritikan daripada kumpulan aktivis yang menyifatkannya sebagai tidak profesional.
Sementara itu, pasukan penyiasat senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan dihantar secepat mungkin ke Syria selepas mendapat kebenaran dari Damsyik.
Tentera Syria didakwa menggunakan senjata kimia ketika bertempur dengan kumpulan pemberontak sepanjang konflik keganasan di negara itu. - REUTERS/AFP

No comments:

Post a Comment