Monday 21 October 2013

31 maut serangan berani mati di Syria


Sebahagian anggota bomba dan pasukan perubatan berkumpul di lokasi kejadian selepas sebuah trak dipenuhi bahan letupan diletupkan pengebom berani mati di bandar Hama, Syria, semalam. - Reuters
BEIRUT 20 Okt. - Kira-kira 31 orang terkorban selepas seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah trak dipenuhi bahan peledak yang dipandunya di sebuah pusat pemeriksaan tentera di Hama hari ini.
"Sekurang-kurangnya 31 terkorban termasuk tentera kerajaan, selepas seorang lelaki meletupkan sebuah trak yang dipenuhi bahan peledak di pusat pemeriksaan berhampiran sebatang jalan yang menghubungkan Hama dengan Salamiyeh,'' jelas Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Jumlah kematian akibat daripada kejadian itu dijangka terus meningkat, selepas berpuluh-puluh orang mengalami kecederaan dan ada di antara mereka berada dalam keadaaan kritikal.
Stesen televisyen sebelum itu melaporkan, terdapat kematian dan kecederaan berlaku kesan daripada pengeboman di Hama, namun tidak memberikan jumlah sebenar mangsa kecelakaan tersebut.
Berita pengeboman itu berlaku selepas Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Elaraby mengumumkan bahawa rundingan damai yang bertujuan menamatkan konflik di Syria akan diadakan di Geneva, Switzerland pada bulan depan.
"Saya membincangkan kes Syria bersama utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi dan memutuskan satu pertemuan pada 23 November ini akan diadakan di Geneva dengan persediaan kepada persidangan itu sedang diuruskan,'' katanya kepada pemberita. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131021/lu_05/31-maut-serangan-berani-mati-di-Syria#ixzz2iQT0ohQP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment