Wednesday 9 October 2013

PBB, OPCW sertai misi musnahkan senjata kimia di Syria


Dua budak lelaki bermain di tengah-tengah runtuhan bangunan akibat perang saudara di kawasan perumahan Duma, Damsyik, kelmarin. Krisis di Syria diburukkan lagi dengan penggunaan senjata kimia yang didakwa dilancarkan oleh tentera kerajaan. - REUTERS
WASHINGTON 8 Okt. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam mencadangkan agar kira-kira 100 pemantau dari badan dunia itu dan Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) dihantar bagi menyertai misi bersama memusnahkan senjata kimia di Syria.
Cadangan Ki-moon itu dibuat dalam satu surat kepada Majlis Keselamatan PBB yang diperolehi Associated Press.
Dalam surat itu Ki-moon berkata, PBB akan menyediakan kemudahan logistik, komunikasi dan kerja-kerja penyelarasan dengan kerajaan dan kumpulan penentang Syria, sementara OPCW menjalankan rundingan teknikal, pengesahan dan pemeriksaan program pemusnahan senjata.
Jelas beliau, memandangkan persekitaran ‘yang berbahaya dan tidak menentu’ di Syria, misi bersama itu hanya akan melibatkan mereka yang betul-betul diperlukan di negara berkenaan.
Surat yang mengandungi 11 muka surat itu adalah tindak balas kepada resolusi yang diterima secara sebulat suara oleh Majlis Keselamatan PBB pada 27 September lalu yang mengarahkan simpanan senjata kimia Syria dikesan dan dimusnahkan.
Kelmarin, di bawah pengawasan pakar OPCW yang disokong oleh PBB, kakitangan Syria memusnahkan senjata kimia di negara ini dengan alat pengimpal dan pengisar untuk memusnahkan atau melumpuhkan pelbagai bahan, termasuk kepala peledak peluru berpandu dan bom udara.
“Saya mengalu-alukan langkah bersejarah ini dan menggesa semua pihak supaya memainkan peranan mereka bagi memastikan proses ini dikekalkan, malah dipercepatkan,’’ kata Ki-moon.
Tambahnya, penghantaran segera pasukan awal tersebut boleh dilakukan kerana kerjasama erat dua pertubuhan berkenaan ‘serta kerjasama dengan kerajaan Syria’. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131009/lu_06/PBB-OPCW-sertai-misi-musnahkan-senjata-kimia-di-Syria#ixzz2hBi4x2xK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment