Monday 7 October 2013

Senjata kimia Syria dimusnahkan


Gambar fail bertarikh 3 Oktober lalu, menunjukkan seorang bapa meratapi kematian anak lelakinya akibat serangan tentera kerajaan berhampiran Hospital Dar El Shifa di Aleppo, Syria. Penggunaan senjata kimia didakwa dilakukan oleh tentera pimpinan Presiden Bashar al-Assad, memburukkan konflik perang saudara di negara itu. - AP
DAMSYIK 6 Okt. - Sepasukan pakar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW), memulakan proses memusnahkan senjata dan kemudahan pengeluaran senjata kimia Syria, di sini, hari ini.
Menurut sumber misi antarabangsa tersebut, pasukan pemeriksa itu dilapor telah menuju tapak yang menjadi lokasi pemusnahan senjata berkenaan.
"Proses pemusnahan senjata kimia dimulakan hari ini. Beberapa kenderaan berat digunakan dalam operasi memusnahkan peluru berpandu, bom kimia udara serta mesin-mesin pembuat serta pengisi bahan kimia mudah alih dan statik,'' kata sumber yang enggan dikenali.
Seorang pegawai OPCW yang beribu pejabat di The Hague sebelum ini berkata, semua 'kaedah wajar' akan digunakan bagi menghentikan pengeluaran senjata kimia Syria.
Katanya, kaedah itu termasuk penggunaan bahan letupan, tukul dan curahan konkrit.
Pasukan pemeriksa senjata tiba di Damsyik Selasa lalu, untuk memulakan proses mengesahkan butir-butir program pemusnahan senjata yang telah diserahkan oleh kerajaan Syria.
"Fasa satu yang didedahkan oleh Syria telah tamat dan kami kini sedang bergerak memasuki fasa dua, mengesahkan, memusnahkan dan memastikan,'' kata sumber itu.
Proses pemusnahan senjata kimia Syria yang dipersetujui kerajaan Presiden Bashar al-Assad itu, merupakan perjanjian yang disepakati bersama antara Amerika Syarikat dan Rusia.
Syria dipercayai memiliki kira-kira 1,000 tan senjata kimia termasuk gas sarin, gas mustard serta senjata-senjata kimia terlarang dan proses pemusnahan akan dilakukan sehingga pertengahan tahun depan, sejajar dengan resolusi dicapai PBB baru-baru ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131007/lu_03/Senjata-kimia-Syria-dimusnahkan#ixzz2h1hoHyBo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment