Friday 29 November 2013

Senjata Syria dilupus di laut


WASHINGTON 28 Nov. - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menawarkan untuk memusnahkan sejumlah senjata kimia milik tentera Syria di tengah-tengah lautan.
Tawaran yang masih belum diputuskan itu bakal menyaksikan proses pemusnahan senjata dilakukan di atas kapal MV Cape Ray di Laut Mediterranean sambil dikawal oleh kapal perang Tentera Laut AS.
Pendekatan itu dilihat boleh mengelakkan sebarang krisis hubungan diplomatik, persekitaran dan ancaman keselamatan di mana-mana negara memandangkan masih belum ada pihak yang ingin membantu melupuskan senjata kimia tersebut.
AS sebelum ini pernah menggunakan lautan sebagai tempat untuk menyelesaikan beberapa isu sensitif termasuk pengebumian bekas pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, bagi mengelakkan makam beliau menjadi sasaran kumpulan pelampau sekiranya dikebumikan di daratan.
Keputusan untuk meneruskan proses pemusnahan senjata kimia tersebut akan ditentukan oleh Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, OPCW memaklumkan, usaha untuk memusnahkan senjata kimia Syria akan berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya daripada segi keselamatan.
Dalam pada itu, jurucakap Majlis Keselamatan Nasional, Jonathan Lalley menegaskan bahawa setakat ini masih belum ada sebarang keputusan dibuat untuk memusnahkan senjata kimia tersebut di luar Syria.
"AS dan negara-negara lain masih mencari alternatif terbaik bagi memusnahkan sejata berbahaya itu," katanya.
Sementara itu, AS mungkin menggunakan Sistem Hidrolisis Lapangan Mudah Alih untuk memusnahkan senjata kimia tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131129/lu_09/Senjata-Syria-dilupus-di-laut#ixzz2m6D56Hdt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment