Friday 27 December 2013

Aleppo terus dibedil tentera Syria, 15 lagi maut


Beberapa penduduk lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri ketika sebuah bangunan terbakar, dipercayai akibat dibedil tentera kerajaan di Aleppo, Syria, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 25 Dis. - Serangan udara oleh tentera Syria ke atas Aleppo yang masuk hari ke-10 semalam, mengakibatkan 15 orang terkorban termasuk tiga orang kanak-kanak selain menjejaskan usaha rundingan damai.
Seorang aktivis di Aleppo, Mohammad Wissam menyifatkan tempoh 10 hari lalu sebagai 'kejadian keganasan paling teruk sejak berlakunya revolusi di Syria'.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, seramai 379 orang terkorban dalam serangan yang dilancarkan di dalam dan di luar Aleppo itu, dengan 108 orang mangsa adalah kanak-kanak, 34 orang wanita dan 30 orang penentang kerajaan.
Pemerhati yang berpangkalan di Britain dan mendapat maklumat melalui rangkaian aktivis serta beberapa saksi di Syria itu, turut menyeru komuniti dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau sesiapa sahaja supaya mengambil tindakan segera bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Rakaman video yang diedarkan oleh rangkaian aktivis Shahba Press menunjukkan, beberapa lelaki yang diselaputi debu mengangkat seorang wanita melalui jalan raya yang musnah di kawasan perumahan Sukkari.
Berikutan serangan demi serangan tersebut, Aleppo kini terbahagi kepada dua bahagian yang dikuasai tentera kerajaan dan kumpulan penentang kerajaan.
Sejak itu, kawasan yang diduduki oleh penentang kerajaan sering dibedil menggunakan bom, namun seorang aktivis memberitahu AFP, serangan terbaharu kali ini lebih hebat berbanding sebelum ini.
Dalam pada itu, Penasihat Gabungan Kebangsaan Syria, Munzer Aqbiq berkata, pihaknya akan memulaukan rundingan damai yang akan dijalankan bulan depan, jika Aleppo berterusan dibom.
"Bagi memastikan proses politik mencapai kejayaan seperti mana yang diharapkan, kerajaan di bawah pimpinan Presiden, Bashar al-Assad perlu melakukan perubahan terutamanya dari segi hak asasi manusia,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131226/lu_06/Aleppo-terus-dibedil-tentera-Syria-15-lagi-maut#ixzz2ocZdFzG0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment