Tuesday 3 December 2013

Konflik ragut 126,000 nyawa


Beirut: Jumlah kematian sepanjang 33 bulan konflik keganasan di Syria mencecah 126,000, menurut Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia semalam.

Kumpulan terbabit yang bergantung kepada rangkaian aktivis, peguam dan doktor di Syria untuk mendapat maklumat berkata, ia mencatatkan 125,835 kematian akibat konflik berkenaan setakat 1 Disember kelmarin.


Kematian itu, kata pertubuhan berpangkalan di Britain berkenaan, termasuk 44,381 orang awam dengan 6,627 daripadanya kanak-kanak dan 4,454 wanita.



Pemantau itu berkata, sekurang-kurangnya 27,746 pejuang antikerajaan terbunuh dan daripada jumlah itu hanya 19,000 adalah orang awam Syria yang mengangkat senjata menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.


Jumlah kematian pembangkang juga termasuk 2,221 tentera yang belot dan 6,261 rakyat asing yang menyertai kumpulan penentang kerajaan.


Sementara itu, bagi pihak rejim pula menyaksikan hampir sekali ganda jumlah kematian pembangkang, dengan kumpulan pemerhati berkenaan mencatat 50,927 kematian yang antaranya berjuang untuk kerajaan Bashar. Angka itu termasuk 31,174 tentera dan 19,256 anggota militia prorejim Syria.

Pertubuhan itu juga berkata, ia mencatat kematian 232 anggota kumpulan Syiah Lubnan, Hizbullah dan 265 lagi pejuang bukan Syiah Syria yang berjuang bersama tentera rejim.


“Kami juga turut merekodkan tambahan 2,781 kematian individu yang tidak dikenal pasti,” menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.

Konflik berdarah di Syria itu bermula pada Mac 2011 dengan bantahan antikerajaan secara aman yang diinspirasikan oleh pergerakan sama seperti di Tunisia, Mesir dan Libya. Ia berterusan menjadi perang saudara selepas kerajaan Bashar menggunakan kekerasan untuk menamatkan demonstrasi dan pembangkang pula mengangkat senjata. - AFP

1 comment:

  1. alhamdulillah. kekurangan senjata tdk menghalang mujahidin memenangi peperangan

    ReplyDelete