Saturday 28 December 2013

Letupan bunuh bekas menteri


Sebahagian penduduk dan anggota bomba memerhatikan bangkai kereta yang hangus terbakar selepas satu letupan bom menggegarkan tengah Beirut, Lebanon, semalam. - AFP
BEIRUT 27 Dis. - Bekas Menteri Ekonomi Lebanon, Mohammed Shattah terbunuh bersama lima individu lain dalam satu serangan bom kereta di sini, hari ini.
Serangan itu berlaku hanya beberapa meter dari bangunan kerajaan dan Parlimen, selain turut mengakibatkan lebih 70 orang cedera.
Rakaman siaran langsung menunjukkan orang ramai lari menyelamatkan diri dari lokasi serangan selain beberapa buah kereta dan orang terbakar serta asap tebal menyelubungi bank, restoran dan hotel yang terletak di situ.
Serangan itu dipercayai mensasarkan konvoi Shattah, pembantu rapat kepada bekas Perdana Menteri Saad Hairiri dan anggota pergerakan politik, Pergerakan Masa Depan.
Sejumlah tentera dan ambulans dikerah ke lokasi kejadian sebaik-baik letupan terbabit berlaku bagi membantu mangsa yang cedera.
Difahamkan, serangan itu dilancarkan ketika Shattah dalam perjalanan ke kediaman Hariri untuk menghadiri satu mesyuarat berhubung gabungan anti-Syria yang menyokong kumpulan penentang kerajaan pimpinan Presiden, Bashar al-Assad.
Beberapa jam sebelum kejadian itu, Shattah mengeluarkan komen melalui laman Twitter dengan menyalahkan militan Hezbollah memberi tekanan kepada kerajaan untuk mendapat kuasa dalam hal keselamatan dan dasar luar seperti yang dilakukan Syria di Lebanon selama 15 tahun.
Kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada dasar politik dan ketenteraan Syria selama hampir 30 tahun di Lebanon yang berakhir selepas pembunuhan Perdana Menteri, Rafiq Hariri pada 2005.
Bagaimanapun tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131228/lu_06/Letupan-bunuh-bekas-menteri#ixzz2p41WpIQD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment