Saturday 14 December 2013

PBB sahkan penggunaan senjata kimia di Syria


Setiausaha Agung PBB, Ban Ki- moon (kanan) berucap selepas Ake Sellstrom (dua dari kanan) menyerahkan laporan akhir siasatan berkenaan penggunaan senjata kimia dalam konflik Syria di ibu pejabat PBB di New York, kelmarin. - REUTERS
NEW YORK 13 Dis. - Pasukan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat penggunaan senjata kimia di Syria mendapati lima daripada tujuh serangan dalam konflik di negara itu mungkin membabitkan penggunaan senjata berkenaan.
Menurut laporan akhir pasukan penyiasat PBB itu, yang diterbitkan semalam, agen gas saraf sarin mungkin digunakan di dalam empat kejadian serangan, dengan satu kes senjata kimia digunakan dalam skala besar.
Laporan itu menyatakan bahawa mangsa dalam beberapa serangan tersebut terdiri daripada askar kerajaan dan orang awam, namun sukar untuk memastikan hubungan secara langsung antara serangan gas saraf, mangsa dan kawasan yang didakwa berlakunya kejadian serangan itu.
''Misi PBB itu menyimpulkan bahawa senjata kimia didapati digunakan dalam konflik di Syria,'' kata laporan pasukan khas badan dunia itu yang dipimpin ketua penyiasat PBB, Ake Sellstorm.
Siasatan yang dilakukan itu mendapati senjata kimia mungkin digunakan di Khan al-Assal berdekatan bandar Aleppo pada Mac lalu; di Saraqeb pada April lalu dan di Jobar serta Ashrafiat Sahnaya pada Ogos lalu.
Seperti laporan awal oleh Sellstrom pada September lalu, pakar menemui bukti 'jelas dan meyakinkan' bahawa agen gas sarin digunakan dalam skala besar ke atas orang awam di bandar Ghouta berdekatan Damsyik pada 21 Ogos lalu yang menyebabkan beratus-ratus orang maut.
Dalam laporan akhir itu, sarin juga dipercayai digunakan dalam skala kecil di Jobar, Saraqeb danAshrafiat Sahnaya.
Siasatan yang dijalankan PBB hanya melihat sama ada senjata kimia digunakan dalam kejadian berkenaan dan bukannya menyiasat siapa yang melancarkan serangan tersebut.
Kerajaan Syria dan kumpulan penentang menuduh antara satu sama lain bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia tersebut, dan kedua-dua pihak saling menafikan penglibatan mereka. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131214/lu_04/PBB-sahkan-penggunaan-senjata-kimia-di-Syria#ixzz2p44rWQPv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment