Monday 27 January 2014

Isu tahanan Syria dibangkitkan


Sebahagian penduduk, memerhatikan keadaan bangunan yang rosak teruk dipercayai akibat bedilan kerajaan Syria di kawasan perumahan Salehin, Aleppo, kelmarin. - REUTERS
GENEVA 26 Jan. - Wakil kerajaan Syria dan penentang kerajaan hari ini membincangkan isu tahanan, sehari selepas mengadakan pertemuan bersemuka antara kedua-dua pihak bertelagah untuk menamatkan konflik yang bermula tiga tahun lalu.
Utusan khas PBB dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi berkata, kedua-dua pihak akan menyentuh isu kemanusiaan sebelum isu-isu politik.
Perbincangan melibatkan nasib beribu-ribu tahanan politik ditahan oleh kerajaan dan penentang kerajaan selepas perjanjian dicapai untuk membenarkan bantuan kemanusiaan ke bandar Homs.
Wakil delegasi penentang kerajaan, Ahmed Ramadan berkata, Damsyik mencadangkan pembebasan tahanan politik dari penjara dengan kumpulan pertama seramai 2,000 orang pada awal bulan depan.
Aktivis berkata, lebih 10,000 orang awam ditangkap oleh tentera sejak Mac 2011 apabila demonstrasi terhadap kerajaan bermula.
Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoubi berkata, pihaknya hadir ke Geneva untuk mengambil bahagian dalam rundingan dan berkhidmat kepada rakyat negara itu.
‘‘Kami mahu perbincangan ini berjaya tanpa melibatkan kepentingan atau agenda asing,’’ katanya.
Semalam, kedua-dua pihak bertelagah buat kali kedua bertemu secara bersemuka dalam usaha damai untuk menamatkan konflik yang bermula sejak tiga tahun lalu.
Kedua-dua pihak bertelagah tersebut bertemu di meja rundingan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama tiga jam dan dipengerusikan oleh Brahimi.
Brahimi menyifatkan pertemuan itu merupakan ‘satu permulaan yang baik’.
Walaupun gagal mencapai sebarang persetujuan ke atas cadangan-cadangan yang dikemukakan, pertemuan itu dilihat berjaya dilaksanakan selepas wakil kerajaan pimpinan Presiden, Bashar al-Assad kelmarin menuduh wakil penentang menghalang rundingan damai dan mengancam berundur daripada proses damai tersebut. - DPA/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140127/lu_05/Isu-tahanan-Syria-dibangkitkan#ixzz2rXnZWQfK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment